SETIAP kali ketibaan bulan Ramadan pastinya ia disambut dengan gembira oleh warga pelajar bersama dengan rakan-rakan dan pihak universiti.
Lazimnya di universiti banyak program berbuka puasa dianjurkan dalam memenuhi keadaan pelajar yang berjauhan daripada keluarga untuk mengurangkan kesayuan masing-masing.
Sikap prihatin dan penyayang pentadbiran universiti berjaya menjadikan sambutan Ramadan meriah dan sempurna dengan pelbagai program serta aktiviti yang dianjurkan.
Ia berjaya mengubati kerinduan para pelajar terhadap keluarga tersayang.
Baru-baru ini, sebahagian daripada pemimpin pelajar bertuah apabila berkesempatan berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa tokoh akademik universiti terkemuka tanah air di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.
Majlis itu turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd. Hafiz Ariffin berkata, kesudian Perdana Menteri meluangkan masa berbuka puasa bersama dengan wakil kepimpinan pelajar dari seluruh negara menunjukkan sifat keprihatinan dan ambil berat beliau terhadap golongan muda dan pelapis pemimpin masa depan negara.
“Suntikan dan semangat Perdana Menteri sempena bulan Ramadan yang mulia ini bakal melakarkan inspirasi kepada kepimpinan mahasiswa negara dalam memacu kecemerlangan Malaysia ke arah melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
“Majlis ini memberi mesej yang jelas bahawa Perdana Menteri mahukan mahasiswa menjadi tonggak dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengekalkan keharmonian dan keamanan sejagat,” katanya.
Seramai 2,000 pemimpin pelajar mewakili 38 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam negara dan 30 wakil pelajar dari universiti antarabangsa diraikan pada majlis berbuka puasa tersebut.
Menurut Mohd Hafiz, peluang menghadiri majlis berbuka puasa di Sri Perdana sedikit sebanyak mengeratkan hubungan antara rakan-rakan kepimpinan mahasiswa universiti lain dalam konteks idea memperkasa pendidikan tinggi negara.
“Sinonim dengan apa yang disampaikan Perdana Menteri iaitu untuk menggerak usaha generasi memperkasakan generasi muda dalam memberikan asas dan peluang kepada mereka menyumbang kepada pembangunan negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: