Tuesday, August 16, 2011

Ketuk-ketuk bangun bersahur


BAHARIM Samuri (kanan) menyampaikan juadah bersahur kepada mahasiswa sempena program Ketuk-Ketuk Ramadan di UiTM, Lendu Melaka, baru-baru ini.


SAAT yang paling bahagia di bulan Ramadan ialah ketika menikmati waktu berbuka dan bersahur bersama keluarga tersayang mahupun teman-teman rapat.

Sesungguhnya Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan kedatangannya oleh umat Islam di seluruh dunia.

Inilah peluang keemasan mereka menggandakan amalan bukan sahaja dalam konteks berpuasa malah pelbagai amal ibadat lain yang dijanjikan Allah ganjaran berlipat kali ganda.

Tidak hairanlah kedatangan Ramadan membawa seribu satu makna kepada seluruh umat Islam yang menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.

Begitu juga bagi mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka yang mana kedatangan Ramadan adalah saat yang dinanti-nantikan oleh mereka.

Selain beramal ibadat dengan puasa dan solat tarawih, pelajar juga menantikan kehadiran kumpulan Warga Unit Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengedarkan makanan bersahur sekitar pukul 2 hingga 4 pagi sempena program Ketuk-Ketuk Ramadan sepanjang bulan yang mulia ini.

Pengedaran makanan itu diadakan di sekitar luar kampus UiTM yang diketuai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM Melaka, Baharim Samuri.

Yang Dipertua MPP UiTM Melaka, Muhammad Alfi Arif berkata, program itu mampu merapatkan semangat persaudaraan barisan MPP dengan para mahasiswa.

Menurut beliau, sebanyak 300 bungkus makanan dan minuman setiap hari diedarkan kepada mahasiswa yang tinggal di luar universiti.

"Peranan yang dimainkan MPP dalam menjaga kebajikan para mahasiswa di dalam dan di luar kampus amat dihargai lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

"Ketuk-Ketuk Ramadan sebegini merupakan salah satu program khidmat bakti yang sewajarnya diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program yang juga Exco Perhubungan Dalaman, Luar dan Antarabangsa, Kampus dan Alumni, Syed Mohd Amirul Syed Abdul Basek berkata, program itu dapat meringankan beban mahasiswa yang menetap di luar kampus.

"Kita sedia maklum bahawa mahasiswa yang menetap diluar kampus, perlu membayar sewa rumah, bil elektrik dan air, kos sara diri, dan pelbagai lagi. Lantas program sebegini mampu meringankan beban mereka.

"Ia juga bertepatan sempena bulan Ramadan dengan saranan serta sunnah Nabi Muhammad S.A.W supaya umatnya memperbanyakkan ibadah, bersedekah dan membuat amal jariah sepanjang bulan yang mulia ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: