SERAMAI 850 murid prasekolah hingga tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia meraikan sambutan bulan kemerdekaan dengan pelbagai aktiviti yang mampu memupuk semangat patriotik serta nilai-nilai murni sejak dari kecil lagi.
Guru Besarnya, Ooi Hock Leong berkata, murid-murid di sekolah ini diwajibkan menyanyi satu lagu patriotik pada setiap kali perhimpunan hari Isnin agar mereka dapat menghafal dan menghayati maksud lagu tersebut.
''Lagu-lagu seperti Jalur Gemilang, Satu Malaysia dan Keranamu Malaysia dinyanyikan dengan lancar dan penuh semangat oleh generasi muda ini yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara suatu masa nanti," katanya pada majlis Pelancaran Bulan Patriotik 2011 peringkat sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, apabila ia menjadi kebiasaan, maka mereka akan terus mempunyai semangat kecintaan yang teguh kepada negara sehingga dewasa.
Katanya lagi, pihak sekolah akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk diisi sepanjang bulan ini seperti pertandingan mewarna, syarahan, bercerita dan lain-lain yang berkaitan dengan tema kemerdekaan.
''Anugerah turut disediakan kepada guru paling patriotik di sekolah ini setiap tahun.
''Aktiviti-aktiviti yang diadakan diharap dapat membantu menyemarakkan lagi semangat patriotik warga sekolah terutamanya murid-murid agar sebati dalam diri mereka,'' tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pengawas sekolah, Nor Anis Farhani, 12, berkata, perasaannya berkobar-kobar apabila bernyanyi bersama rakan-rakan sekolah yang lain.
''Program ini diadakan setiap tahun dan ia sangat dinanti-nantikan oleh semua murid di sini kerana terdapat pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan,'' ujarnya.
Murid tahun dua, Sharmina Harimi, 8, pula menyatakan bahawa dia begitu seronok dan bersemangat apabila menyanyikan lagu-lagu kebangsaan dengan kawan-kawan beramai-ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: