BERAMAL...Team 1 menjalankan kerja amal di Rumah Sejahtera Taman Bahagia Bukit Payong.
PERMAI Team 1 Bicycle Club (Team 1) mungkin asing bagi orang awam, tetapi tidak bagi peminat basikal di Terengganu. Melihat saja pengayuh basikal memakai jersi berwarna hijau pucuk pisang yang berkonvoi menyusuri jalan di bandar raya Kuala Terengganu, pasti ramai menyedari ia pasukan Team 1 yang ditubuhkan Hotel Permai.
Pasukan yang diwujudkan pada 20 Februari lalu itu adalah idea Pengurus Besarnya, Azman Ali bagi memupuk sikap mementingkan kesihatan di kalangan pekerjanya serta membudayakan aktiviti riadah pada setiap petang.
Bermula dengan hanya tiga kakitangan yang menyertai Team 1, kini Azman boleh berbangga apabila 40 kakitangan hotel berusia 18 hingga 52 tahun menyertai pasukan itu, malah mempunyai basikal sendiri.
Lebih menarik, Hotel Permai menawarkan skim potongan gaji kepada kakitangannya untuk membeli basikal berjenama seterusnya menyertai Team 1 dan secara langsung mendorong mereka bergiat dalam sukan berbasikal itu.
Azman berkata, objektif asal penubuhan Team 1 adalah membudayakan aktiviti riadah di kalangan kakitangan dan memilih basikal sebagai medium utama kerana ia bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri melahirkan ramai pelumba basikal.
“Ia sebagai tanda sokongan Hotel Permai kepada hasrat kerajaan negeri selain minat mendalam terhadap sukan itu yang boleh menyatukan serta mengeratkan silaturahim di antara kakitangan.
“Apabila kakitangan terbabit dalam satu aktiviti riadah, ia secara langsung mengukuhkan hubungan, malah menghilangkan jurang antara kakitangan tidak mengira pangkat atau status,” katanya.
Menurutnya, kakitangan yang mesra antara satu sama lain akan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, seterusnya memberikan hasil kerja terbaik dan dapat menarik pelanggan ke Hotel Permai.
Bercerita mengenai pengalamannya berbasikal, katanya, Team 1 berbasikal sejauh 40 kilometer (km) tiga kali seminggu bermula jam 5.45 petang hingga 7 malam atau 8.30 malam hingga 11 malam.
“Kebiasaannya kami berkayuh di sekitar Kuala Terengganu dan Marang, malah pernah sampai ke Dungun dan merancang untuk ke destinasi seterusnya iaitu Kemaman.
“Team 1 berkayuh bukan sekadar hobi dan menghabiskan masa lapang, tetapi sambil mengedar risalah mengenai hotel kepada orang awam, termasuk di kawasan yang menjadi tumpuan orang.
“Ternyata usaha dilakukan mendapat maklum balas positif daripada orang awam, malah berjaya mencuri tumpuan orang ramai,” katanya.
Katanya, sejak berjinak-jinak dengan sukan berbasikal itu, dia mempunyai lapan basikal berjenama Raleigh Oakland, XDS 8 Speed, XDS 9 Speed, XDS 10 Speed, Fixie, Road Bike RX300, Fixed XDS dan terbaru Fuji Aloha 1.0.
Menurutnya, jumlah ahli Team 1 bertambah dari semasa ke semasa, malah merancang membuka keahlian kepada orang awam atau pelanggan hotel yang berminat, tahun depan.
“Team 1 mempertimbangkan untuk membuka keahlian kepada orang awam berikutan permintaan peminat sukan berbasikal di negeri ini untuk menyertai kami.
“Kami juga merancang menyertai kejohanan lumba basikal di sekitar negeri ini, seterusnya melahirkan jaguh basikal di kalangan ahli pasukan kami,” katanya.
Ahlinya, Fateha Ismail, 22, dari Kampung Pulau Bahagia, berkata sebelum ini dia sentiasa berjoging setiap petang tetapi sejak Team 1 ditubuhkan dia lebih seronok menjalankan aktiviti riadah dengan berkonvoi basikal.
“Hubungan kekeluargaan antara kakitangan hotel juga terbentuk apabila menjalani riadah bersama-sama, antara kakitangan biasa dengan pihak atasan tiada jurang dan kami boleh saling bertukar-tukar pandangan ketika menjalani aktiviti.
“Paling jauh saya berkayuh 40 km dan menyimpan hasrat untuk berkayuh lebih jauh selain memiliki lebih banyak koleksi basikal berjenama.
“Saya memilik basikal jenis Raleigh dan dalam masa terdekat akan menjalani latihan dan berhasrat menyertai pertandingan lumba basikal yang dianjurkan di negeri ini,” katanya.
Rakannya, Zaidin Mamat, 22, dari Kampung Kuala Ibai berkata, sebelum ini dia mat rempit tegar dan menghabiskan banyak masa dengan perkara tidak berfaedah, namun sejak menyertai Team 1 dia tidak lagi terbabit dengan gejala tidak sihat itu.
“Masa terluang saya dihabiskan dengan aktiviti berbasikal. Jika tidak mengikuti Team 1 berkonvoi, saya akan menyertai rakan lain berbasikal di sekitar Kuala Terengganu dan Marang.
“Paling jauh saya berkayuh hingga ke Rantau Abang sejauh 120 km dan sepanjang Ramadan ini saya berkayuh selepas solat tarawih bagi mengekalkan stamina,” katanya.
Zaidin berkata, penubuhan Team 1 membangkitkan semangatnya untuk menyertai pertandingan lumba basikal, seterusnya menjadi atlit berbasikal.
“Saya memang serius membabitkan diri dalam sukan berbasikal dan bercita-cita mencapai kecemerlangan setanding jaguh lumba basikal negara, Anuar Manan dan Mohd Azizulhasni Awang.
“Jika diikutkan pengalaman, saya berbasikal sejak di bangku sekolah namun tidak pernah ada pasukan atau kelab, malah melalui Team 1 saya mempelajari banyak teknik mengawal basikal serta menggunakan kelajuan,” katanya.
Mohd Hishamuddin Razali, 18, dari Kampung Kolam, Kuala Ibai berkata, dia sudah lama menanam hasrat memiliki basikal berjenama namun tidak mampu tetapi apabila Team 1 memberi kemudahan potongan gaji, dia terus membeli basikal Road Bike jenis Polygon berharga RM1,200.
“Saya mendapat kepuasan luar biasa apabila menunggang basikal berkenaan, kemampuannya mendaki bukit cukup membuktikan ia hebat dan berbaloi dengan nilai harganya.
“Berbanding basikal biasa, ia lebih laju malah tidak perlu menggunakan banyak tenaga untuk memecut, jadi tidak hairan basikal itu boleh mengikuti konvoi yang jauh serta sesuai untuk berlumba,” katanya.
Anuar Ali, 30 dari Kampung Kuala Ibai berkata, sebelum menyertai Team 1, dia langsung tidak beriadah berikutan tiada aktiviti sesuai, namun sejak mengikuti Team 1 masa lapangnya terisi dengan kegiatan berfaedah serta menyihatkan badan.
“Pada mulanya saya tercabar apabila melihat orang lebih berusia mampu berkayuh jauh sehingga mendorong saya membeli basikal dan menyertai Team 1.
“Walaupun aktiviti berbasikal nampak mudah, ia sebenarnya memerlukan fokus serta pengawalan nafas yang betul bagi memastikan kita mampu mengekalkan momentum kayuhan sepanjang berkonvoi.
“Seronok juga berkayuh beramai-ramai, jarak yang jauh dirasakan dekat apabila kita bergerak secara berkumpulan, malah secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara pekerja hotel,” katanya.
PROFIL:
NAMA: Zaidin Mamat
UMUR: 22 tahun
ASAL: Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu
JENIS BASIKAL: Road Bike
PROFIL:
NAMA: Mohd Hishamuddin Razali
UMUR: 18 tahun
ASAL: Kampung Kolam, Kuala Ibai
JENIS BASIKAL: Polygon (road bike)
PROFIL:
NAMA: Anuar Ali
UMUR: 30 tahun
ASAL: Kampung Kuala Ibai
JENIS BASIKAL: XDS 8 Speed dan Raleigh Ommesis
PROFIL:
NAMA: Fateha Ismail
UMUR: 22 tahun
ASAL: Kampung Pulau
Bahagia, Kuala Terengganu
JENIS BASIKAL: Raleigh Oakland
INFO:
Terengganu
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: