keluarga bahagia...Nafisah bersama suami dan empat anaknya.
MENJADI ‘isteri hujung minggu’ adalah pengalaman yang perlu ditempuh wanita cekal ini selepas diberi kepercayaan menerajui firma seni bina terkemuka di Kuala Lumpur yang membuka cawangan di Pulau Pinang.
Tujuh tahun berjauhan dengan suami dan anak yang menetap di ibu kota, Nafisah Radin, 51, terpaksa berkorban demi merealisasikan impiannya yang bukan sekadar mahu memiliki firma seni bina terkemuka, tetapi juga memiliki perniagaan sendiri.
“Disebabkan tinggal berjauhan, saya terpaksa berulang alik di antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bertemu keluarga. Tiga minggu pertama di Pulau Pinang, saya menangis kerana tidak dapat menanggung rindu. Tambahan pula, pada waktu sama, saya disahkan hamil anak ketiga.
“Bukan mudah untuk berada di kedudukan sekarang kerana banyak halangan harus saya tempuh. Ketika itu anak terpaksa dijaga suami, sedangkan saya sendirian di Pulau Pinang.
“Namun, disebabkan kemahuan kuat untuk mencapai kejayaan dalam karier, saya akur dan sanggup menempuh setiap cabaran dengan sabar,” kata wanita cekal yang juga pemilik NR Architect, firma seni bina terkemuka tempatan.
Nafisah yang menggenggam sarjana Muda Seni bina daripada Universiti Nottingham, England pada 1985, pernah bergelar arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) selama tujuh tahun sebelum menyertai firma seni bina terkenal di ibu kota.
Sewaktu berkhidmat di JKR, beliau berjaya mereka bentuk pelan pejabat kedutaan Malaysia di Jepun dan Indonesia, sekali gus menjadi kayu pengukur dalam kerjayanya sebagai arkitek.
Pengalaman digalinya bertahun-tahun demi mengukuhkan nama dalam bidang seni bina akhirnya terbukti apabila pada 2000, dia menjual semua sahamnya dalam syarikat berkenaan untuk menzahirkan syarikat sendiri iaitu NR Architect.
Di bawah syarikat induknya, anak jati Pulau Mutiara itu terus mengembangkan sayapnya dengan menubuhkan NR Architect Design Sdn Bhd, NR Interior Design dan Sinar Cakerawala Sdn Bhd hingga berdaya maju dan disegani ramai.
Lebih membanggakan, pada usia 11 tahun, NR Architect menampakkan kejayaan memberangsangkan apabila lakaran seni binanya yang kreatif dan inovatif sering mendapat projek berprofil tinggi.
Kejayaan besar pernah dicapai Nafisah ialah menghasilkan pelan binaan canggih dan berteknologi tinggi untuk Hotel Impiana Putrajaya, pejabat kerajaan di Presint 4 Putrajaya, makmal sains Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak dan Jabatan Audit Negara Negeri Sembilan.
Sentuhan kreatif wanita gigih ini dalam mereka pelan bangunan Suruhanjaya Tenaga di Putrajaya yang diinspirasikan daripada bentuk berlian melonjakkan namanya apabila mendapat anugerah Platinum Green Building Index (Malaysia) kerana yang pertama seumpama itu selain pengiktirafan menerusi anugerah Platinum Green Mark (Singapura), baru-baru ini.
Beliau turut memberi fokus kepada projek bangunan pejabat atau unit kedai, hotel dan apartmen hotel tidak hanya tertumpu kepada pembangunan perumahan semata-mata.
“Selepas itu, satu demi satu rekaan saya menjadi pilihan pemaju, sekali gus membuktikan wanita mampu bersaing dengan lelaki jika diberi peluang. Walaupun menikmati semua ini agak lambat, saya sudah membuktikannya,” katanya.
Biarpun mencipta banyak kejayaan besar, beliau sering mengingatkan diri sendiri supaya tidak mudah dibuai dengan pelbagai anugerah disandang.
“Kalau kita benar-benar berminat dalam sesuatu bidang, tumpuan sepenuhnya harus diberi. Jika sudah berusaha gigih dan berserah selepas melakukan yang terbaik tetapi projek tidak menjadi, jangan putus asa. Anggaplah itu bukan rezeki kita, kita perlu reda dan terima segala ketentuan Allah,” katanya yang masih ingat bagaimana dia diuji dengan pelbagai perkara pada awal perniagaan.
Bagi Nafisah, kekuatan semangat mengatasi segala-galanya.
“Saya mengandung anak bongsu ketika usia mencecah 40 tahun iaitu satu sisi sukar bagi segelintir wanita. Sebaik selamat bersalin, esoknya saya terus melukis untuk menyiapkan rekaan sebagaimana dijanjikan dengan pelanggan.
“Ada pekerja mengakui mereka tidak dapat bekerja seperti saya atau tidak mampu menjadi segigih saya dalam melaksanakan satu-satu tanggungjawab diamanahkan.
Pada saya, kekuatan dalaman bergantung kepada sejauh mana kita hebat membina jati diri.
“Dalam pelan perniagaan untuk syarikat, saya menyiapkan satu sistem untuk membesarkan operasi. Ia turut didukung oleh pekerja berkarisma dan berwibawa serta didorong keinginan untuk terus berjaya,” katanya.
Melihat komitmennya yang tinggi, tidak dinafikan wanita yang pernah meraih Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2009 dan Anugerah Usahawan Wanita Malaysia Ernst & Young 2006 menganggap kerja kuatnya itu disebabkan latar belakang keluarga susah hingga mendorong dia bekerja tanpa mengenal jemu.
Menurut Nafisah, seseorang itu harus membina impian lebih besar untuk anjakan paradigma selain iltizam mahu mengubah budaya bangsa dan tidak mengharapkan tongkat semata-mata jika ingin berjaya dalam hidup.
“Kadangkala saya terkilan apabila wanita yang mendapat peluang belajar di universiti atau bantuan biasiswa kerajaan, tiba-tiba mahu berhenti kerja.
“Seharusnya, mereka fikir betapa ruginya berpelajaran tinggi dan duit kerajaan dihabiskan, mereka tidak menyumbang jasa untuk negara. Sedangkan ramai lagi mengharapkan peluang seperti itu dan pada pandangan peribadi saya, ia sesuatu yang merugikan,” katanya.
PROFIL:
NAMA: Nafisah Radin
LAHIR: 25 Mei 1960
ASAL: Pulau Pinang
JAWATAN: Pemilik NR Architect, Sri Hartamas, Kuala Lumpur
AKADEMI: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni (Seni Bina) Universiti Nottingham, England
SUAMI: Zahiruddin Hashim
ANAK: Nurdiana (23), Zafri (21), Zharif (15) dan Nursyazlina (11)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: