Monday, August 1, 2011

Prestasi 2011 lebih positif

PRESTASI NAIK...KLIA catat  12.8 juta penumpang antarabangsa sepanjang tempoh enam bulan pertama.
PRESTASI NAIK...KLIA catat 12.8 juta penumpang antarabangsa sepanjang tempoh enam bulan pertama.

PRESTASI trafik penumpang pengangkutan udara bagi tahun 2011 dijangka mengalami pertumbuhan positif sehingga 6.7 peratus berdasarkan pencapaian yang memberangsangkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Trend prestasi trafik penumpang bagi semua lapangan terbang bagi tempoh Januari hingga Jun 2011 meningkat 12.60 peratus atau 3.6 juta penumpang kepada 31.9 juta berbanding catatan pada tempoh yang sama tahun 2010 iaitu seramai 28.3 juta penumpang.


Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), selaras dengan misi menggalakkan pelancongan serta kemudahan pengangkutan udara ke Malaysia, ia semakin positif dengan kemasukan penumpang antarabangsa seramai 15 juta yang dicatatkan bagi tempoh enam bulan pertama 2011 iaitu kenaikan 13.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2010.

Keadaan sama dicatatkan jumlah penumpang domestik dengan kenaikan 11.8 peratus atau 16.8 juta penumpang berbanding 15 juta penumpang tahun lalu.


Kementerian itu berkata, secara keseluruhan, bulan Jun mencatatkan sejumlah 5.7 juta penumpang untuk menjadikan angka tertinggi dicatatkan bagi tempoh enam bulan pertama 2011.


Purata jumlah penumpang bagi tempoh enam bulan pertama itu juga pada bilangan minimum iaitu 5.3 juta penumpang sebulan.

“Peningkatan prestasi trafik penumpang disebabkan peningkatan permintaan terhadap pengangkutan udara serta peningkatan kekerapan penerbangan. Ia turut disumbang faktor penambahan destinasi baru syarikat penerbangan tempatan dan luar negara,” kata MOT dalam kenyataannya di Kuala Lumpur semalam.


Dalam pada itu, dasar sedia ada Malaysia berhubung sektor penerbangan awam yang mengamalkan pendekatan liberal, memberi fleksibiliti kepada syarikat penerbangan untuk meningkatkan kekerapan dan kapasiti penerbangan, seterusnya memangkin perkembangan industri pelancongan, perdagangan dan ekonomi di negara ini.

Dari segi kendalian trafik penumpang, lapangan terbang KLIA mencatatkan jumlah tertinggi sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan 5.5 juta penumpang domestik (naik 10.2 peratus) dan 12.8 juta penumpang antarabangsa (kenaikan 14.8 peratus).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: