SELAMAT...Capello (tengah) ketawa gembira selepas undian dibuat dan England berada dalam kumpulan selesa untuk layak ke Brazil.
RIO DE JANEIRO: Tuah nyata memihak kepada England pada undian kelayakan Piala Dunia 2014 kelmarin ketika juara bertahan, Sepanyol dan pemenang edisi 1998, Perancis diundi dalam satu kumpulan untuk saingan pemburuan tempat ke pusingan akhir di Brazil.
England, salah satu pasukan pilihan, diundi bersama seteru di saingan Euro 2012, Montenegro, Ukraine, Poland, Moldova dan San Marino di Kumpulan H.
Jika England gagal pada pusingan kelayakan, mereka perlu melalui perlawanan kalah mati untuk menempah satu daripada empat tiket ke pusingan akhir, namun England dijangka mudah untuk sekurang-kurangnya menghuni tangga kedua peringkat kumpulan.
“Saya yakin,” kata pengurus England, Fabio Capello yang akan melepaskan jawatannya itu selepas Euro 2012.
“Tapi ia bukan mudah. Ukraine dan Montenegro pasti akan memberi saingan sengit.” katanya.
Ketika juara edisi 1966 itu boleh menarik nafas lega, lain pula kisahnya dengan Perancis yang diundi bersama juara Eropah dan Dunia, Sepanyol serta Belarus, Georgia dan Finland dalam Kumpulan I.
“Tiga tahun adalah tempoh yang lama dan 2014 bukannya berlaku sekarang. Sepanyol ketika ini adalah pasukan terbaik dunia tetapi kita semua tidak tahu adakah situasi sama akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi,” kata jurulatih Perancis, Laurent Blanc.
Selaku tuan rumah, Brazil layak secara automatik tetapi berjuta peminat di seluruh dunia yang menyaksikan hasil undian itu mengharapkan nasib lebih memihak kepada pasukan kesayangan masing-masing.
Scotland diundi bersama Wales yang baru-baru ini mengalami penurunan dalam kedudukan ranking dunia di bawah Faroe Islands. Kedua-dua pasukan itu juga diundi bersama Croatia, Serbia, Belgium dan Macedonia dalam Kumpulan A.
Di Eropah, naib juara dunia, Belanda diundi bersama Turki yang dibimbing oleh Guus Hiddink, Hungary, Romania, Estonia dan Andorra dalam Kumpulan D.
Juara dunia empat kali, Itali di dalam Kumpulan B bersama Denmark dan Republik Czech, Bulgaria, Armenia dan Malta.
Sementara juara dunia tiga kali, Jerman mengetuai Kumpulan C dan dijangka mendapat saingan daripada Sweden dan Ireland serta tiga lagi pasukan iaitu Austria, Kepulauan Faroe serta Kazakhstan.
Kumpulan E pula dihuni oleh Norway, Slovenia, Switzerland, Albania, Cyprus dan Iceland sementara Kumpulan F menyaksikan Portugal diundi bersama tuan rumah Piala Dunia 2018, Russia, Israel, Ireland Utara, Azerbaijan dan Luxembourg.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: