KUALA LUMPUR – Para peniaga di pasar terbuka Taman Desa Setapak mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan kerja-kerja pemindahan tapak perniagaan di kawasan itu kerana mendakwa notis yang diberi terlalu singkat.
Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, penangguhan itu diminta oleh kira-kira 15 peniaga kerana rata-rata mereka baru sahaja menerima notis pada 4 Ogos lalu.
“Pasar ini telah beroperasi selama 22 tahun dan merupakan satu keperluan kepada penduduk yang tinggal berdekatan.
“Oleh itu saya berharap DBKL akan mempertimbangkan permintaan mereka untuk menangguhkan pemindahan tapak perniagaan sehingga mereka mendapat jalan penyelesaian yang terbaik,” ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, DBKL mengarahkan peniaga di kawasan terbabit berpindah selepas menerima aduan daripada penduduk di sekitar kawasan tersebut mengenai masalah lalu lintas dan kebersihan.
Sepanjang tempoh penangguhan itu, Teong Look berkata, para peniaga berjanji akan mengambil langkah untuk menyusun semula kedudukan gerai di pasar tersebut supaya kawasan itu kelihatan teratur dan bersih.
“Mereka turut diminta bergotong-royong bagi membersihkan kawasan tersebut terutamanya bagi peniaga ayam dan bahan makanan,” jelasnya sambil berharap DBKL akan bertimbang rasa terhadap rayuan peniaga terbabit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: