KAJANG – Seorang penjenayah yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditembak mati selepas dia enggan menyerah diri walaupun polis menghabiskan masa selama tiga jam untuk memujuknya supaya menyerah diri di sebuah rumah di pangsapuri Flora Taman Impian Balakong di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1 hingga pukul 4 pagi itu, suspek ditemui mati dalam sebuah bilik di rumah tempat dia bersembunyi.
Sebelum kejadian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rasyid Abdul Wahab berkata, polis menyerbu sebuah rumah kos rendah di tingkat bawah dan menahan lima orang termasuk sepasang suami isteri yang berada di dalam rumah itu.
Dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita melarikan diri dengan masuk ke dalam sebuah bilik.
“Polis kemudian memujuk pasangan itu supaya menyerah diri sebelum insiden berbalas tembak antara polis dan suspek yang berdegil enggan menyerah diri dari dalam bilik,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Bagaimanapun, menurut beliau, selepas kira-kira 20 minit berada dalam bilik itu, suspek wanita kemudian keluar menyerah diri.
“Suspek lelaki terus enggan menyerah diri dan dalam kejadian berbalas tembak lebih dua jam, suspek itu kemudian ditemui mati dalam bilik tersebut,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: