KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 keluarga yang menyewa di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Lembah Pantai di sini bakal menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan di bawah Program 1Sumbangan 1Keluarga.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, program tersebut bertujuan untuk meringankan beban penduduk terbabit dalam menghadapi tekanan kenaikan harga barang terutamanya makanan.
“Diharap sumbangan yang sedikit ini akan memberi manfaat kepada mereka dalam menghadapi kenaikan harga barang terutamanya kepada umat Islam dalam menghadapi sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya di sini semalam.
Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 500 keluarga di flat PPR Sri Pahang yang turut dihadiri isterinya, Datin Nafeesah Nong Chik dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Pahang, Md. Hisham Md. Hashim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: