Saturday, August 20, 2011

Nasi kerabu pilihan Aina


AINA Suzaily bersama rakan sekerjanya membeli juadah berbuka di bazar Ramadan yang terletak di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.


MEMILIKI raut wajah yang lembut berserta rambut hitam ikal yang menghurai melepasi bahu, pasti membuatkan ramai anak muda tertawan dengan keayuan milik pembaca berita kelahiran program realiti Penyampai Ikon, terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun lalu.

Ditambah pula apabila sepasang baju kurung disarungkan ke sosok tubuhnya, Aina Suzaily Mohd. Zailanny, 21, atau mesra disapa sebagai Aina ini terus menyerlahkan aura gadis Timur yang dimilikinya selama ini.

Bagi Aina yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan ini, dia tidak akan melepaskan peluang menikmati nasi kerabu sebagai juadah berbuka puasa.

Melebihi dua dekad sebagai anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang itu, nasi kerabu menjadi juadah kegemarannya sekeluarga di samping makanan tradisi lain seperti nasi dagang, kuih akok, tahi itik, jala mas dan sebagainya.

Menurut pembaca slot laporan berita utama, Berita Nasional yang disiarkan pada pukul 8 malam di TV1 itu, dia tidak mampu untuk menterjemahkan melalui kata-kata mengapa menu tersebut menjadi pilihannya.

“Cuma yang saya tahu, nasi kerabu ini sememangnya sedap dengan pelbagai pilihan lauk pauk yang disediakan untuk dimakan bersamanya.

“Tambahan pula, bermacam-macam ulam dijadikan rencah untuk membuat menu ini. Jadi, ia adalah sajian berkhasiat yang sesuai untuk dimakan,” katanya yang juga merupakan pengacara program Paparazzi terbitan KRU Studios yang disiarkan di saluran online KRU TV.

Selain itu, tambah Aina, jika mempunyai kelapangan, dia akan membuat sendiri juadah tersebut di rumahnya.

Itu pun, ujar Aina, sekiranya ada permintaan daripada rakan-rakannya dan makan beramai-ramai di rumahnya.

“Jika saya seorang sahaja, memang saya tidak akan memasaknya kerana resipi ini memerlukan lebih daripada dua orang untuk menikmatinya.

“Kalau masak nasi untuk dimakan seorang, rasa macam tidak seronok dan tidak berbaloi,” jelas Aina.

Bercakap mengenai minuman pula, kata Aina, minuman yang sesuai apabila memakan nasi kerabu ialah air kelapa sejuk.

“ Apabila dua resipi ini disatukan, tidak mampu untuk saya gambarkan betapa nikmatnya.

“Memakan nasi kerabu ketika berbuka dengan meminum air kelapa sejuk memberikan kesegaran selepas sehari berlapar,” kata Aina membayangkan betapa enaknya menikmati menu kegemarannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: