Saturday, August 20, 2011

Flying fox di Pulau Perhentian


FLYING fox merupakan daya tarikan terbaharu di Pulau Perhentian.


BANYAK aktiviti riadah boleh dilakukan di Pulau Perhentian, Terengganu. Selam skuba, snorkeling, jelajah hutan, bersantai dan melihat penyu antara aktiviti yang sering dilakukan apabila berada di pantai dan pulau.

Yang pasti, apa yang dilakukan di Pulau Perhentian, juga terdapat di pulau-pulau lain seperti Tioman, Redang, Tenggol, Kapas, Mabul dan Lang Tengah.

Namun, jangan terkejut jika anda berkunjung semula ke Pulau Perhentian kerana kini terdapat satu daya tarikan terbaharu iaitu aktiviti ‘flying fox’.

Tarikan terbaharu ini mungkin satu-satunya sahaja yang terdapat di situ berbanding dengan pulau-pulau lain.

Flying fox yang terdapat di penginapan D’Lagoon di Pulau Perhentian Kecil itu sering mendapat perhatian pengunjung sejak ia dipasang lebih sebulan lalu.

Apa yang menarik, pengunjung yang menginap di D’Lagoon tidak dikenakan bayaran apabila mencuba aktiviti berkenaan.

Flying fox itu yang dipasang pada ketinggian 15 meter dengan jarak 120 meter, begitu menyeronokkan kepada sesiapa sahaja yang mencubanya.

Mereka yang melakukan aktiviti flying fox berkenaan pasti berasa kagum kerana dapat merasai suasana yang berbeza.

Apa tidaknya, bermula di kawasan hutan dan berbatu, flying fox tersebut melalui kawasan pesisir pantai dengan pemandangan laut dan bukit dan seterusnya mendarat di atas pasir di tepian pantai berhadapan D’Lagoon.

Anda juga jangan terkejut, kerana cubaan kali pertama melakukan flying fox akan membawa kepada keinginan untuk mencubanya kali kedua.

Inilah antara perasaan mereka yang mencubanya setelah dapat melihat keindahan apabila ‘terbang’ bersama flying fox di D’Lagoon.

Bagi yang ingin mencubanya, kakitangan D’Lagoon terlebih dahulu akan memastikan tali untuk aktiviti flying fox tersebut selamat digunakan sebelum membenarkan pengunjung mencubanya.

Mungkin ada yang tertanya apakah flying fox di D’Lagoon itu selamat?

Yang pasti, pemasangan tali itu mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

Pengusaha D’Lagoon sendiri yang merupakan bekas pegawai tentera selama 10 tahun, menggunakan pengalaman serta kemahirannya untuk memastikan flying fox itu selamat.

Malah, apabila ditanya, pengusaha D’Lagoon itu memberitahu, antara latihan yang dilalui semasa dalam pasukan tentera ialah melakukan flying fox.

Sehubungan itu, beliau menggunakan pengalaman semasa dalam tentera itu untuk mewujudkan aktiviti flying fox bagi membolehkan pengunjung merasai keunikan aktiviti berkenaan.

Tarikan terbaharu di Pulau Perhentian itu secara tidak langsung berjaya menarik kehadiran pengunjung yang mahukan kelainan apabila berada di pulau berkenaan.

Bagi mereka yang ingin mencuba flying fox selain aktiviti skuba, treking, snorkeling dan bersantai di Pulau Perhentian, boleh menghubungi pengusaha D’Lagoon di talian 012-9850678.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: