|
| |
MUNGKIN sudah rezeki, percubaan kali kedua menyertai Pertandingan Fotografi Muslimah bertempat di Taman Bukit Jalil melayakkan gadis manis ini bersama pasukannya memenangi kumpulan terbaik.
“Tak sangka juga terpilih. Pertama kali menyertai pertandingan ini dulu ayah yang ajak. Ayah memang minat fotografi dan kali ini, gambar saya diambil oleh adik, Mohd. Naim Mohd. Azhar,” kata pemilik nama Siti Najwa Hanani.
Dengan wajah yang disolek oleh Arra's Fingers, penampilan gadis yang mesra disapa sebagai Najwa berubah 360 darjah.
Tiada lagi wajah polos seorang penuntut Universiti Sains Pengurusan (MSU) yang mengejar masa untuk ke kuliah, sebaliknya dia kelihatan seperti model berpengalaman.
Tidak menafikan dirinya meminati bidang modelling, namun mengakui peluang masih belum terbuka buat gadis berusia 19 tahun ini. Walaupun begitu, dia akur dengan tuntutan sebagai pelajar yang memerlukan tumpuan sepenuh perhatian terhadap pengajian peringkat diploma dalam jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Bercerita mengenai Ramadan ini kata Najwa, dia lebih banyak menghabiskan masa di kampus dan juga kediaman sewa bersama teman serumahnya.
“Cukup dengan juadah yang dibeli di bazar Ramadan, kami berbuka seadanya. Pada sebelah malam pula, kalau tidak ada hal lain, saya akan solat tarawih berjemaah di MSU,” kata gadis berasal dari Kelantan ini.
Dalam pada itu, penganjur pertandingan, Siti Sarah Mohd. Hata berkata, pemilihan kumpulan yang disertai Najwa berdasarkan kekemasan solekan dan juga gambar yang dihasilkan.
“Apatah lagi ia diambil oleh seorang remaja berusia 15 tahun. Hasilnya memang mengagumkan,” katanya.
Menurut Siti Sarah, sebanyak 40 kumpulan menyertai pertandingan yang dianjurkan kali ini di mana setiap kumpulan terdiri daripada model, jurusolek dan jurugambar. Pertandingan tersebut juga katanya mendapat penajaan Teratai Ibunda Catering, Wali Al-Sulam, Online Hijab, Syurene, JCS dan Zukrina.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: