|
| GAUN moden menjadi pilihan untuk menghadiri jemputan rumah terbuka Aidilfitri. |
KONTEMPORARI dan kreatif adalah konsep Safora - label pereka pakaian pengantin dan busana anggun, Datin Sabihah Datuk Mohd Salleh.
Bermula sebagai hobi, Sabihah meneruskan penglibatan dalam bidang rekaan fesyen dengan mengilhamkan jenama sendiri.
Seindah namanya, Safora mempelbagaikan penggunaan bahan tempatan seperti songket dan batik diadun dengan percikan manik dan hiasan fabrik sulaman.
“Sebenarnya minat saya dalam mereka fesyen bermula sejak remaja. Masa itu, saya selalu membuat pakaian mengikut cita rasa sendiri. Minat ini telah berterusan sehingga sehingga sekarang.
“Kemudian kawan-kawan secara berterusan memberi sokongan supaya sentiasa ada fesyen yang disiapkan untuk mereka menghadiri majlis tertentu,” ujarnya yang pernah merantau ke Amerika 33 tahun dahulu dan kemudian menetap di London.
Keistimewaan Safora berbanding koleksi lain kerana Sabihah menerapkan kualiti menerusi manik, fabrik sulaman dari Eropah dan Timur Tengah dan songket bermutu tinggi.
material
Ternyata taruhan Safora mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan wanita bagi menghadiri majlis rasmi atau perkahwinan.
“Ia menunjukkan bahawa material songket tidak sahaja digunakan bagi pakaian pengantin tradisi, bahkan juga bagi corak yang sesuai boleh digunakan bagi pakaian wanita dalam upacara rasmi atau separuh rasmi setelah dihiasi perincian manik dan sulaman,” jelasnya yang menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekeluarga yang sentiasa mengikuti fesyen dan trend sebagai idola.
Selain mempamerkan rekaan berkualiti, Sabihah terkenal dengan sentuhan kreatifnya. Ramai penggemar fesyen Safora berpendapat, mereka tertarik dengan adunan warna yang sesuai dengan perincian manik dan sulaman itu sendiri.
Menggunakan fabrik sifon, satin, organza, tulle, sutera dan sebagainya, kombinasi material ini dipersembahkan mengikut ciri-ciri dan tema majlis yang dihadiri.
“Idea rekaan yang datang sinonim dengan kemahiran dan kreativiti seni kerana ia sudah sebati dengan diri saya.
“Sebab itu, saya sering menganggap rekaan dengan kombinasi fabrik atau perincian merupakan sesuatu yang kreatif,” katanya yang merupakan anak kepada penulis seni khat terkenal, Datuk Mohd Salleh @ Embab Hassan Al Khudsi.
Sementara itu, bagi mereka yang masih tercari-cari busana sedia pakai untuk Aidilfitri, bolehlah mendapatkan pakaian Safora.
Menyediakan pelbagai saiz, pakaian boleh diubah suai selain menambah perincian, Safora menyediakan pelbagai pilihan busana Aidilfitri termasuk kurung moden, kebaya dan kaftan.
Safora yang dulunya beroperasi di kompleks beli-belah, kini mengubah konsep perniagaan kepada ‘butik rumah’. Ia memberi keselesaan dari segi tumpuan rekaan dan kemudahan kepada penggemar fesyen biasa untuk memilih busana. Safora kini beroperasi di 12, Jalan Burhanudin Helmi, taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur. Orang ramai boleh melayari laman web, www.saforaboutique.com atau menghubungi talian 019-3580990.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: