Saturday, August 20, 2011

Miss Glamor milik Muthita


SUDAH menjadi rezeki Muthita Santipatee apabila dia dipilih menjadi Miss Glamor di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MENCARI wanita cantik dan bijak bukanlah satu kerja mudah, tambahan pula perlu memiliki pakej menarik termasuk mempunyai pendidikan tinggi, perwatakan cantik serta serba serbi berkebolehan.

Namun sudah menjadi rezeki Muthita Santipatee, 23, apabila dia dipilih menjadi Miss Glamor dalam pencarian wanita cantik dan bijak. Dia mengalahkan para peserta lain termasuk dari Malaysia, Singapura, Laos dan beberapa negara lain.

Anak gadis dari Thailand ini merupakan salah seorang daripada 23 peserta yang menyertai Miss Chinese Cosmos Southeast Asia 2011. Dalam pertandingan itu, Muthita berpeluang menggayakan barang kemas Tomei.

Pelajar tahun akhir di sebuah universiti di Thailand ini memberitahu, dia tidak menyangka dapat melayakkan diri ke peringkat akhir, apatah lagi terpilih sebagai Miss Glamor.

“Saya memang tidak sangka boleh terpilih, lagipun ramai lagi peserta lain yang layak,’’ ujarnya penuh bangga.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia seronok dapat menyertai pertandingan ini, namun apabila melihat ramai wanita cantik menyertainya, ia membuatkan dirinya berasa bimbang.

“Saya pernah terfikir untuk menarik diri tetapi memandangkan saya datang dari jauh, jadi saya berfikir panjang sebelum membuat keputusan,’’ ujarnya yang mengambil jurusan Ekonomi.

Sementara itu, penganjur Miss Chinese Cosmos Southeast Asia, Carrie Lee Sze Kei memberitahu, pertandingan ini terbuka kepada gadis berusia 18 hingga 28 tahun yang mempunyai perwatakan menarik dan berkebolehan untuk berhadapan dengan orang luar.

Malah, peserta juga perlu memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya di peringkat diploma untuk menyertainya.

“Dalam program tersebut, peserta bukan sahaja diberi peluang menggayakan barang kemas tetapi juga diuji dengan soalan-soalan yang mencabar minda oleh para juri,’’ ujarnya.

Beliau yang merupakan pemenang Miss Chinese Cosmos 2004 memberitahu, semua itu penting kerana cantik sahaja tidak cukup, sebaliknya memerlukan kebolehan dalam bidang lain.

“Untuk kali ini, pihaknya turut meletakkan syarat supaya peserta yang terlibat mestilah berkebolehan dalam serba serbi, berkeyakinan, mempunyai perwatakan menarik serta memiliki ketinggian tidak kurang 165 sentimeter, selain tidak pernah hamil,’’ ujarnya lagi.

Katanya lagi, dalam peraduan ini pemenang akan dibawa ke Hong Kong untuk melayakkan diri ke peringkat antarabangsa yang akan berlangsung pada Oktober ini.

Malah peserta yang menang juga berpeluang untuk membawa pulang wang tunai Hong Kong Dollar (HKD) 120,000 (RM45,752).

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Tomei, Christine Lim pula memberitahu, peraduan ini merupakan tajaan kali ketiga Tomei sejak diadakan pada 2003.

“Dalam program ini, peserta berpeluang menggayakan koleksi barang kemas Tomei yang eksklusif dengan gaya tersendiri,’’ ujarnya.

Katanya lagi, penajaan koleksi barangan Tomei ini bukan sahaja untuk mencari wanita cantik tetapi juga bertujuan mengkomersialkan lagi rekaan eksklusif barangan Tomei.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: