![]() |
| Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud (kanan) semasa melancarkan buku Operasi Piramid dan Catatan Xnuri Pilot di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Jemaah Menteri telah memberikan persetujuan supaya misi kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan (Malcon Isaf) dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun lagi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan tempoh perkhidmatan Malcon Isaf tersebut akan berakhir tidak lama lagi.
Menurutnya, pasukan pengaman Malaysia itu akan membantu membekalkan peralatan dan perubatan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk di negara berkenaan.
"Selain itu, kita turut memohon kepada Kabinet untuk tambahan 13 lagi anggota Malcon Isaf daripada jumlah sedia ada iaitu 46 anggota," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perasmian perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia bercadang untuk menjadi Ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan pengalaman sebagai pasukan pengaman serta menguruskan proses rundingan membabitkan beberapa negara.
Katanya, adalah munasabah bagi Malaysia untuk diberi pertimbangan untuk menjadi anggota badan berkenaan berdasarkan rekod Malaysia dalam menyertai pasukan pengaman sejak lebih 50 tahun lalu.
Kata beliau, kewujudan Pusat Latihan Pengaman Malaysia (PLPM) di Port Dickson yang disertai pasukan pengaman dari Asia dan Afrika serta pembabitan Malaysia dalam banyak misi keselamatan dan proses perundingan juga seharusnya menjadi kelebihan kepada negara ini.
"Oleh itu, kita memerlukan sokongan dari Jepun dan wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) di Malaysia bagi membantu kita mencapai hasrat tersebut," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: