Wednesday, August 24, 2011

Malbatt 3 tambat hati penduduk Lebanon


Duta Besar Malaysia di Lebanon, Ilango Karuppanan (tengah) bersama pegawai Malbatt 3 dan wakil Sekolah Teknik Bint Jbeil, Lebanon pada majlis penyerahan enjin yang disumbangkan oleh Malbatt 3 kepada sekolah itu baru-baru ini.


SELAIN melaksanakan tugas-tugas menjaga keamanan di Lebanon, pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 3 juga terlibat dengan program kemasyarakatan bagi tujuan membina semula keupayaan serta keyakinan penduduk negara itu.

Program yang dikenali sebagai Civil Military Cooperation (Cimic) itu merupakan sebahagian daripada Projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Selain membina keupayaan serta keyakinan penduduk tempatan, program tersebut juga bertujuan mengeratkan hubungan antara anggota Malbatt 3 dengan penduduk setempat.

Panglima Angkatan Bersama, Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin semasa sesi lawatannya ke Lebanon pada 15 Mei lalu turut menekankan kepentingan pelaksanaan Cimic yang perlu berdasarkan keperluan penduduk tempatan.

Katanya, program tersebut perlu menekankan lima elemen penting iaitu penerimaan masyarakat tempatan, kos yang efektif, kaedah mendekati, memenangi hati dan minda penduduk tempatan serta menjaga imej organisasi.

Bagi Komander Malbatt 3, Kolonel Mhd. Nazri Abd. Rahman, objektif Cimic berjaya direalisasikan oleh pasukan tersebut walaupun dengan dana yang terhad.

Malah katanya, setiap program jiwa murni yang dianjurkan mendapat tempat di hati rakyat tempatan dan mendapat sanjungan daripada pemimpin Lebanon.

"Di Lebanon terdapat 27 bandar di dalam kawasan tanggungjawab Malbatt 3 di mana setiap bandar ditadbir oleh seorang Datuk Bandar yang dilantik oleh penduduk tempatan melalui pilihan raya setiap enam tahun sekali.

"Bagi mengeratkan hubungan di antara semua Datuk Bandar dengan anggota Malbatt 3, kami telah melaksanakan kunjungan terhadap kesemua 27 Datuk Bandar dalam kawasan tanggungjawab Malbatt 3.

"Menerusi program seperti ini, kehadiran Malbatt 3 di Lebanon telah mendapat reaksi yang positif daripada semua pemimpin dan juga penduduk tempatan," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Tibnin, Nabil Fawaz berkata, beliau serta penduduk tempatan amat mengalu-alukan kehadiran anggota Malbatt 3 dan menghargai apa yang telah dilaksanakan untuk membantu negara itu.

"Kami amat menghargai dan mengalu-alukan kedatangan Malbatt 3. Malah kami telah menganggap mereka sebagai sebahagian daripada keluarga kami," jelasnya.

Dalam pada itu, pasukan perubatan Malbatt 3 juga sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan mereka kepada penduduk tempatan. Sehingga kini seramai 990 pesakit telah mendapat rawatan daripada pasukan itu.

Malbatt 3 juga telah menyumbangkan bekalan ubatan kepada Hospital Kerajaan Tibnin. Hospital tersebut yang berada pada tahap 90 peratus siap merupakan satu-satunya hospital kerajaan yang ada di Selatan Lebanon yang memberikan rawatan kepada hampir 120,000 penduduk.

Namun disebabkan kekurangan bekalan ubatan serta pegawai perubatan, hospital tersebut hanya mampu menyediakan perkhidmatan pesakit luar.

Menurut Pengarah hospital, Dr. Mohamed Ali Hammadi, sumbangan ubat-ubatan daripada Malbatt 3 telah membolehkan hospital berkenaan memberikan rawatan yang lebih baik kepada penduduk setempat.

Selain itu, Malbatt 3 juga buat julung-julung kalinya mengadakan 'Program Ziarah' yang bertujuan memberi rawatan kepada pesakit yang tidak mampu bergerak di samping mengeratkan lagi silaturahim dengan penduduk setempat.

Inisiatif tersebut telah mendapat pujian dan penghargaan daripada penduduk setempat.

Pegawai Cimic, Lt. Komander Mohd. Saifulizan Md. Ariff berkata, rahsia kejayaan Malbatt 3 dalam projek jiwa murni di Lebanon adalah kerana komitmen yang tinggi oleh setiap anggotanya serta melaksanakannya dengan penuh ikhlas.

"Projek jiwa murni ini bukan sahaja telah menaikkan nama Malbatt 3, malah nama Malaysia dan Brunei juga semakin dikenali. Kami akan terus berbakti serta menyumbangkan tenaga ke arah keamanan dunia amnya dan Lebanon khasnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: