IPOH 23 Ogos – Bagi meraikan bulan Ramadan, Unit Agama dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini telah menganjurkan Bulan Penghayatan Islam yang bermula 26 Julai hingga 18 Ogos lalu.
Program yang bertemakan Lestari Keizzahan Islam itu diisi dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang bermanfaat seperti pertandingan Tilawah Al-Quran, Festival Kesenian Islam dan ceramah pemantapan syariah.
Selain itu turut diadakan majlis tadarrus dan khatam Al-Quran selain berbuka puasa dan penyerahan sumbangan raya bersama orang kurang upaya (OKU).
Pegawai Perhubungan Awamnya, Hasmiza Hussin berkata, program yang diadakan saban tahun itu dapat menambahkan pengetahuan pelajar mengenai cara hidup dan budaya Islam dan mengamalkan nya dalam tingkah laku sebagai seorang pelajar yang cemerlang.
“Penganjuran program seumpama ini akan mendekatkan pelajar dengan nilai kemanusiaan dan keinsanan sekali gus menjadikan mereka individu yang bersyukur dan menghargai apa yang merka miliki.
“Selain itu, ia membolehkan semua warga PUO lebih menghayati isi kandungan Al-Quran dan Sunnah nabi dan mengamalkannya dalam kehidupan harian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hasmiza berkata, program tersebut sejajar dengan konsep Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN), Kementerian Pengajian Tinggi dalam melahirkan graduan yang mampu berdepan dengan pelbagai cabaran serta mampu bersaing di dalam dunia yang semakin mencabar.
“Pembangunan modal insan yang ditekankan dalam program ini juga memberi tumpuan kepada aspek keinsanan agar pelajar PUO mampu hidup di dalam masyarakat dengan mempunyai personaliti unggul dan holistik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: