Saturday, August 20, 2011

Kisah hidup jadi resipi kejayaan chef



WANITA yang petah berkata-kata ini bukan sahaja seorang yang profesional dalam bidangnya, malah sangat arif berfalsafah.

Katanya, suatu hari nanti dia mahu menjadi penulis novel dengan namanya, Azura Othman, terpapar di atas kulit buku itu.

Namun, kerjaya terkini wanita muda yang baru mencecah usia 30-an itu tiada kena-mengena dengan dunia penulisan, falsafah mahupun komunikasi.

Azura ialah seorang chef yang pernah membuka restoran pertama di kota London ketika usianya 23 tahun. Pelajar jurusan perundangan itu pada masa yang sama menunjukkan minat mendalam dalam bidang masakan. Minat itu ternyata tidak berakhir dengan sia-sia kerana dia sempat menimba pengalaman di sebuah sekolah masakan di Ealing, London.

Kini, dengan kepakaran masakan khususnya menggunakan kaedah vakum yang dinamakan Sous Vide, Azura ialah nama di sebalik jenama Orved dari Itali yang memperkenalkan teknik masakan terbaharu itu.

Bersama-sama jenama antarabangsa tersebut, Azura kini mengelilingi dunia, memperkenalkan masakan dalam bag vakum kepada dunia. Sebelum ini, Azura menjadi satu-satunya warga Asia yang menjadi duta pisau jenama Zwilling dari Jerman.


ANTARA pengalaman manis Azura adalah menguruskan operasi sebuah restoran di luar negara.


Wanita yang aktif menjadi penasihat kepada banyak syarikat kulinari, hotel dan restoran itu tentu sekali mempunyai tarikan dan aura tersendiri untuk bernaung di bawah label-label terkemuka antarabangsa.

Walaupun Azura dilihat bertuah kerana mempunyai kehidupan yang direstui sebagai chef, mungkin ramai yang tidak tahu betapa wanita ini pernah melalui detik-detik sukar sebagai pesakit autuimun iaitu gangguan sistem pertahanan tubuh.

Penyakit tersebut mempengaruhi fungsi tubuh akibat keradangan dan pembinasaan tisu oleh autoantobodi. Secara ringkasnya, sistem pertahanan semula jadi yang lazimnya melawan penyakit menyerang sistem dalam tubuh itu sendiri.

"Pada waktu itu saya berusia 23 tahun dan baru sahaja membuka restoran di London. Saya tidak boleh menggenggam tangan, memegang mahupun menekan menggunakan tangan. Sendi tangan saya terasa sangat sakit dan tangan saya seolah-olah tidak lagi berfungsi.


DUNIA masakan membawa Azura merantau ke banyak destinasi.


"Pernah sekali apabila ibu pergi membeli-belah meninggalkan saya di rumah, sepanjang tiga jam, saya tidak bergerak ke mana-mana. Hanya selepas ibu balik, dia yang mengangkat saya ke tandas," kata Azura yang telah kehilangan bapanya ketika berusia sembilan tahun.

Sewaktu menghadapi masalah mirip kelumpuhan itu, dia sering terfikir tentang mati. Tabah berkerusi roda, mujur dia menerima sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang memberikan kekuatan kepadanya untuk kembali kepada kehidupan asal.

Seperti jatuh ditimpa tangga, Azura ditinggalkan teman lelakinya pula. Namun, dia menempuhi semua itu dengan rawatan perubatan dan sokongan kuat daripada ibunya.

"Ibulah yang mandikan saya, menyuap makanan dan minuman. Dia menjaga saya seperti seorang bayi," imbas Azura.

Selepas setahun, keadaannya beransur pulih dan kembali normal serta bersedia untuk ke dapur semula. Begitupun, dia terpaksa meninggalkan perniagaan di London kerana tiada siapa dapat menguruskan bisnes itu.

"Ibu saya seorang peguam. Dia tidak mempunyai apa-apa pengetahuan dalam bidang masakan. Saya tiada cara lain," katanya.


AZURA menempuhi pelbagai dugaan hidup sebelum bergelar chef berjaya.


Azura kini menanam azam, baik sekarang mahupun pada masa hadapan, dia mahu melakukan sesuatu yang boleh memanfaatkan orang di sekelilingnya.

"Jika saya didekati oleh sesiapa untuk sesuatu rancangan, misal kata rancangan televisyen, saya akan terima jika ia membawa imej saya secara tulus dan pada masa yang sama dapat memberi manfaat kepada penonton," kata Azura yang seronok mencoret pengalaman kembara dan kulinari di laman blog kendaliannya, iaitu sayangkuazura.blogspot.com.

Beralih bidang

Tarikan bidang kulinari juga telah membuatkan dunia fesyen 'kehilangan' seorang bakat berpotensi apabila Mohd. Azman Jemangin, 36, jatuh cinta pada dunia masak-memasak.

Daripada bekerja sebagai pembantu di bawah seorang pereka fesyen terkenal tempatan, Azman mengorak langkah hingga mendapat status chef di depan namanya.

"Memang pelik, daripada seorang pelajar pereka fesyen, kini saya seorang chef. Tetapi ia satu perkara yang biasa. Ramai chef di luar sana juga bukan dari latar belakang pengajian kulinari atau memasak," ujarnya yang kini mencurah khidmat di Tonka Bean Cafe, Hotel Impiana KLCC.


MOHD. AZMAN percaya pada bakatnya dalam bidang masakan.


Memulakan karier sebagai pembantu dapur, Azman mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk bergelar chef. Namun, dia juga mengakui bernasib baik kerana kenaikan pangkat dalam tempoh itu agak pantas. Semuanya kerana sokongan seseorang.

"Ketika itu, saya bekerja di sebuah hotel lain dan ditugaskan memasak untuk tetamu kehormat iaitu Raja Perlis. Dalam majlis tersebut, saya diberitahu, baginda amat meminati mi goreng saya. Selepas tamat majlis, seorang berpangkat besar bertanya kepada saya dan jawatan saya," imbasnya.

Azman pada masa itu hanyalah seorang commis (perantis yang bekerja di bawah chef de partie) ketiga. Dia segera diminta dinaikkan pangkat oleh orang ternama itu. Sebaik dinaikkan pangkat sebagai commis kedua dan pertama selepas dalam hanya beberapa bulan, Azman menjadi chef.

"Itu adalah pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan. Ia satu pengiktirafan bagi pekerjaan saya," katanya.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Azman memberitahu ada cabaran yang perlu ditempuhinya. Azman tetap perlu merasa makanan yang dimasak dengan hujung lidah dan seterusnya diludahkan semula. Walaupun dihukumkan makruh, demi tugasnya, Azman mahu memastikan makanan yang dimasak menepati standard dan kualiti yang ditetapkan.

Meskipun Azman kini terus mengasah kemahiran dan mencurahkan bakti dalam bidang kulinari, skil terdahulu iaitu yang berkaitan dengan jahitan dan fesyen tidak luntur.

Untuk hari lebaran nanti, dia turut menjahit pakaian hari raya buat ahli keluarga, khususnya untuk anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: