Saturday, August 20, 2011

Kerja dapur seluas dunia


CARLOZ puas mengembara serata dunia sepanjang hayat kerjayanya.


SEMENTARA itu, Chef Eksekutif dari Hotel Hilton, Petaling Jaya, Zul Aman Ahmad memberitahu, dunia masakan adalah satu bidang pekerjaan yang telah membawanya merantau ke seluruh dunia.

Zul Aman bukan sekadar terikat dengan bilik dapur tetapi sebahagian daripada imej restoran Paya Serai di Hilton. Tentunya dia juga memulakan tugas dari tahap yang paling bawah.

"Sudah 18 tahun saya dalam bidang ini dan saya amat berbangga menjadi chef," kata lelaki berusia 40-an itu yang dikenali rakan sekerja dan para pelanggan setianya dengan panggilan Carloz.

Tambahnya, kerjaya sebagai chef juga memerlukan kemahiran komunikasi untuk bercakap dengan pelanggan, berbincang tentang resipi dan gaya masakan. Semua itu bertujuan membawa imej tempat kerja, mempromosi makanan dan membina jaringan perhubungan.

"Sebelum Hilton, saya bekerja di beberapa buah tempat termasuk menimba pengalaman luar negara selama empat tahun. Selain di Maldives, saya pernah mengikuti beberapa lawatan kerja ke negara-negara seperti Taiwan, Sri Lanka, Thailand dan lain-lain atas urusan mempromosi makanan Malaysia," terangnya.

Bapa kepada seorang anak itu juga mengakui, kerjayanya menyeronokkan. Itu terbukti apabila beliau berpeluang memasak untuk bintang-bintang antarabangsa, kerabat diraja dan orang-orang kenamaan.

Zul Aman berpendapat, memori paling indah menjadi chef bukan sekadar memasak.

"Saya pernah dicabar oleh seorang lelaki untuk menguruskan makan malam hari jadi untuk teman wanitanya. Dia memberikan saya satu tugasan yang agak sukar iaitu meminta saya menyediakan makanan tanpa menggunakan pinggan dan mangkuk,'" katanya yang telah menyahut cabaran lelaki itu.


RAHSIA kelazatan masakan Chef Ahmad terletak pada rasa cinta pada masakan.


Menariknya, cabaran majlis privasi unik yang bertempat di Hotel Hilton itu dapat juga dilunaskannya walaupun dia terpaksa mengorbankan waktu tidur semalaman.

Di rumah pula, ujarnya, dia dan isteri sering berkongsi dapur. Namun, dia mengakui, pada kebanyakan masa, dialah yang mendominasi ruang tersebut.

Lain pula kisah bagi Chef Ahmad Nurul Azri, 37, dari Hotel DoubleTree by Hilton. Kalau sesetengah chef bermula dari bawah, dia pula merupakan lulusan sekolah kulinari.

Bermula sebagai commis kedua, dia telah mengumpul ilmu berharga selama 11 tahun penglibatannya.

Tiap kali ditanya tentang minat dan kepuasan, dia yang mesra disapa sebagai Azri mempunyai satu jawapan iaitu cinta terhadap masakan yang hadir daripada hati.

Azri memberitahu, minat memasak telah wujud semenjak dia berusia sembilan tahun melalui sebuah rancangan memasak di televisyen.

Sama seperti chef-chef lain, dia juga mempunyai pengalaman manis yang terkesan di hatinya.

"Seorang wanita Arab pernah mendekati saya ketika operasi dapur hotel sudah dihentikan. Dia meminta disediakan kepadanya sejenis masakan dan saya menyambut permintaan itu sepenuh hati.

"Sebaik dia menjamah, ucapan terima kasih dan senyuman daripadanya memberikan kegembiraan sebenar kepada seorang chef," ujar Azri yang percaya bahawa makanan perlu disediakan dengan penuh rasa keterujaan dan cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: