Wednesday, August 24, 2011

Kelainan juadah berbuka Hilltop

Tidak hanya tertumpu kepada makanan Melayu, dapur Restoran Hilltop Starhill Golf & Country Club juga menyajikan hidangan Cina, India, Barat dan Jepun.


MANTAU dan udang bercili antara menu istimewa dari Hilltop Starhill.


JIKA inginkan sesuatu yang berbeza untuk berbuka puasa, Restoran Hilltop Starhill Golf & Country Club (SHCC) di Johor Bahru, Johor adalah tempat terbaik untuk dikunjungi. Tidak hanya tertumpu kepada lauk-pauk kampung, restoran itu menghidangkan lebih 70 jenis juadah bukan sahaja dari pelbagai jenis makanan Melayu bahkan terdiri daripada hidangan Cina, India serta makanan Barat dan Jepun.


IKAN masak mentega lemon antara menu istimewa yang ditawarkan.


Dengan tema Sumptuous Buffet Ramadhan, hampir semua juadah disediakan sendiri oleh Chef Liew Chee Lin yang pernah memenangi beberapa pertandingan masakan di peringkat antarabangsa.

Menurut Penyelia Bahagian Makanan dan Minuman (F&B) SHCC, Roslan Ali, antara tarikan utama di restoran tersebut sudah tentu ayam panggang juara yang pernah memenangi pingat emas selaku juadah terbaik dalam satu pertandingan memasak di China.

"Selain itu, udang berlada dengan mantau serta pencuci mulut durian goreng merupakan antara juadah istimewa di restoran kami dan hanya boleh didapati pada bufet Ramadan yang kami tawarkan," katanya.

Masakan kampung


CHEF Liew Chee (kanan) dan Roslan menunjukkan antara makanan yang ditawarkan di Starhill Golf and Country Club, Kempas, Johor Bahru, Johor sepanjang Ramadan.


Roslan berkata, pelanggan yang inginkan masakan kampung boleh menikmati nasi putih atau nasi ulam yang dinikmati bersama pelbagai jenis lauk. Antaranya ialah ayam dan daging goreng rempah, rendang ayam, kacang panjang goreng sambal, ikan bakar, udang masak petai dan kerang sambal.

Selain itu, terdapat juga sup tulang rusuk lembu bersama roti Perancis dan makanan sampingan seperti rojak buah, kerabu daging, mangga, perut dan udang serta kacang kuda. Bagi yang ingin mencuba makanan Jepun, terdapat juga pelbagai juadah antaranya filament stick, nigiri, hosomaki salad dan hosomaki grill salmon.

"Untuk hidangan pembuka selera kami menawarkan rojak asma, udang bercili dengan mantau, otak-otak, bebola kari ayam pandan yang digoreng, spageti marinara dan tidak lupa ayam panggang juara dan roti canai.

"Bagi pencuci mulut, sesiapa yang mencuba durian goreng kami pasti tidak akan melupakan keenakan pes durian yang digulung dengan krep selain air batu campur mangga dan strawberi dan pelbagai pilihan buah-buahan, puding, kuih-muih Melayu, kek serta aiskrim," katanya.

Paling istimewa katanya, semua hidangan lazat tersebut boleh dinikmati sepuas-puasnya pada harga RM49 nett seorang bagi dewasa dan RM24 nett bagi kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: