Wednesday, August 3, 2011

Kari kepala ikan di tingkat 39


SAJIAN pengenalan PNB Darby Park kari kepala ikan.


SEPERTI ada yang kurang jika juadah berbuka puasa tanpa menu tradisional dihidangkan di atas meja. Menyedari hakikat itu, PNB Darby Park pada tahun ini menyediakan bufet Ramadan dengan lebih 100 jenis lauk autentik Malaysia.

Di The 39 Restaurant, mereka menyediakan sajian pengenalan dan salah satunya ialah kari kepala ikan yang menggunakan pelbagai rempah terpilih.

Menurut Chef Sous Eksekutifnya, Ard Abd. Aziz, kari kepala ikan adalah sajian yang dihidangkan setiap tahun dan sentiasa mendapat perhatian pengunjung.

"Rahsianya terletak kepada pemilihan dan cara mengadun bahan-bahan tersebut," ujarnya ketika ditemui pada sesi prarasa bufet Ramadan di PNB Darby Park baru-baru ini.

Tambah Ard, selain lauk pengenalan, restoran yang terletak di aras 39 itu turut menyediakan tujuh jenis sup seperti sup ayam kampung, sup lembu, sup ekor dan sebagainya.

Bagi yang gemarkan makanan berkhasiat seperti salad dan sayur-sayuran, PNB Darby Park menyediakan sebanyak 12 jenis kerabu seperti kerabu ayam, kerabu tauge dan kerabu perut.

"Kami turut menyediakan kambing panggang setiap hari bermula 1 Ramadan lalu. Ia bertujuan untuk memberi kelainan kepada pengunjung merasa pelbagai jenis hidangan," ujarnya.

Hidangan lain yang turut disediakan adalah kupang dengan sos asam jawa, udang sambal petai, daging masak hitam, nasi beriani gam dan lain-lain.

Para pengunjung yang berbuka puasa di PNB Darby Park bukan sahaja dapat menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari tingkat 39 tetapi turut dihiburkan dengan nyanyian sebuah band tempatan.

PNB Darby Cafe yang terletak di aras pertama pula menawarkan hidangan bufet makanan tempatan dengan tema ala bazar Ramadan.

Antara hidangannya adalah ayam golek percik, terubuk asam pedas, roti jala, kepak ayam madu, popiah basah dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: