Wednesday, August 3, 2011

Ihsan Ramadan Anjung Singgah YKN


PARA sukarelawan YKN bertungkus-lumus menyiapkan bungkusan makanan dan kelengkapan diri kepada golongan tidak berumah.


SUASANA petang di Anjung Singgah YKN pada 1 Ramadan lalu sedikit berbeza berbanding hari-hari biasa. Orang ramai yang terdiri daripada golongan gelandangan beratur seawal pukul 2 petang di pusat sehenti di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu untuk menerima bungkusan makanan.

Bagi kelompok yang banyak menghabiskan masa menyusuri kehidupan di jalanan itu, pemberian ihsan sedemikian adalah satu peluang yang bernilai.

Tanpa mengira peringkat usia dan bangsa, kelompok penerima bantuan itu tidak putus-putus mengucapkan terima kasih dengan senyuman di bibir tatkala bungkusan berisi barang keperluan diri dan makanan lazat bertukar tangan.

Pada petang itu, ada antara mereka yang bertuah kerana menerima bungkusan tersebut terus daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turun padang bersama-sama sekumpulan para sukarelawan.

Dalam masa tidak sampai dua jam, kesemua bungkusan tersebut telah habis diagih-agihkan kepada mereka.

Majlis Salam Ramadan Anjung Singgah yang kali pertama diadakan itu dianjurkan oleh KPWKM, Puspanita dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk meraikan golongan itu.

Diadakan sempena kedatangan bulan Ramadan, pihak YKN menyediakan lebih 700 bungkusan yang mengandungi tuala, produk penjagaan diri dan peti kecemasan yang menjadi keperluan asas kepada golongan tersebut selain sebekas kuih.


PERSEDIAAN awal dan sidang media sebelum pengagihan bantuan ihsan Ramadan di Anjung Singgah YKN dimulakan.


Selain itu, sebanyak 1,500 buah bungkusan makanan nasi bukhari dan nasi beriani turut disediakan untuk juadah berbuka puasa pada hari tersebut.

Shahrizat berkata, program-program kelolaan KPWKM tidak pernah memilih bangsa dan agama. Semua bantuan akan diberi selagi mereka termasuk dalam golongan tidak berumah atau hidup susah.

“Penubuhan Anjung Singgah dan pelaksanaan program-program sebegini adalah supaya bilangan golongan tidak berumah dapat dikurangkan di Kuala Lumpur.

“Sehingga kini, seramai 1,387 orang gelandangan telah berdaftar dengan kementerian. Anjung Singgah pula adalah tempat untuk mereka berteduh dan makan,” ujar beliau.

Dapat bantuan

Bagi Siti Suzana Zakaria, 45, dia berasa gembira dengan bantuan yang diberikan tambahan pula pertolongan diterima pada hari pertama berpuasa.

Dia bersama ratusan yang lain menerima kupon khas daripada pihak Anjung Singgah sebagai tanda layak menerima bungkusan bantuan berkenaan.

“Saya pernah tinggal di Anjung Singgah selama sebulan sebelum mendapat pekerjaan tetapi kini masih lagi hidup gelandangan di Dataran Merdeka,” katanya yang hidup tidak berumah selepas terlibat dengan kes mahkamah.

Luahnya, walaupun sudah mendapat pekerjaan, dia mendakwa ditipu oleh majikan sehingga dipaksa bekerja selama lebih 16 jam.

Mendapat respons daripada Pengerusi Jawatankuasa Projek Khas Anjung Singgah, Toh Puan Sri Wan Hibatul Hidayah Wan Ismail berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan masalah seperti yang dialami Siti Suzana itu.


SHAHRIZAT beramah mesra dengan golongan tidak berumah ketika majlis pemberian bungkusan ihsan.


“Kami ada juga menerima aduan daripada pihak majikan. Sesetengah daripada mereka (golongan gelandangan yang dibantu mendapatkan pekerjaan) akan lari apabila ujian air kencing hendak dilakukan.

“Selain itu, kami tidak mahu ada individu yang mengambil kesempatan dengan Anjung Singgah. Jadi, kami sedang dalam perancangan membangunkan sistem bantuan terbaharu,” jelasnya.

Bantuan modal

Menurut Hibatul Hidayah, program bantuan tersebut akan memberi peluang kepada golongan tersebut membuka perniagaan dan dijangka akan dimulakan dalam masa enam bulan lagi.

Bantuan yang akan diberikan adalah berbentuk sumbangan modal kecil. Pada masa yang sama, program itu turut membantu dan menggalakkan golongan tersebut berdikari dengan berniaga.

Dalam pada itu, Shahrizat menambah, semenjak pusat sehenti bagi orang gelandangan itu ditubuhkan pada 9 April lalu, seramai 250 orang telah berdaftar di Anjung Singgah.

“Namun, amat sukar untuk menentukan jumlah orang yang tinggal di sini kerana penghuninya sentiasa keluar dan masuk,” kata Shahrizat di sidang media majlis tersebut.

Sehingga tahun lalu, seramai 1,387 orang gelandangan telah berdaftar dalam senarai yang dipantau pihak KPWKM. Sementara itu, angka terkini golongan yang berdaftar dengan Anjung Singgah adalah seramai 213 orang lelaki dan 37 orang perempuan.

“Daripada jumlah itu pula, seramai 101 orang telah mendapat pekerjaan dan selebihnya dirujuk kepada pelbagai agensi berkaitan,” kata Shahrizat.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A. Rahman Sayed Mohd. yang sama-sama mengagih-agihkan bungkusan sempena Majlis Salam Ramadan Anjung Singgah tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: