Tuesday, August 16, 2011

Iftar Muzik FM dan anak yatim


Barisan penyampai Muzik FM saling bekerjasama memastikan stesen radio tersebut terus diminati ramai.


TIDAK lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan besar, radio popular tempatan, Muzik FM sekali lagi bermurah hati menjamu anak-anak yatim sempena mengambil berkat kemuliaan Ramadan kali ini.

Untuk majlis iftar kedua anjuran stesen radio tersebut tahun ini, anak-anak yatim dari Taman Baiduri, Dengkil, Selangor dijemput dan disajikan dengan juadah enak yang disediakan atas kerjasama Hotel Pearl International.

Menurut Pengurus Muzik FM, Zainal Abidin Asri Abd. Wahid, penganjuran majlis berbuka itu adalah acara tahunan yang pastinya dilakukan sempena Ramadan.

"Tahun ini, kami menganjurkannya lebih daripada sekali memandangkan aktiviti kebajikan ini tidak salah jika dilakukan secara kerap.

"Pada masa yang sama, sebagai salah satu jabatan di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang merupakan milik kerajaan, setiap penganjuran acara diberi pemarkahan.

"Jadi, ia menyumbang terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) kakitangan RTM yang mengelolakan acara tersebut," katanya sejurus menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim berkenaan.

Majlis yang dinamakan sebagai Jom Berbuka Puasa itu dikelolakan oleh Penerbit Program, Masnah Abdul yang suatu ketika dahulu merupakan seorang deejay.

Dalam pada itu, Zainal menambah, acara itu juga merapatkan silaturrahim antara barisan penyampai Muzik FM dengan peminat mereka apabila 10 pendengar bertuah turut diundang ke majlis tersebut.

"Boleh dikatakan, hampir setiap acara yang dianjurkan, kami pastikan para pendengar juga dijemput untuk memeriahkan majlis selain sebagai simbolik penghargaan terhadap mereka.

"Selain beramah mesra dengan para deejay, secara tidak langsung peminat juga berpeluang berkongsi kisah dengan anak-anak yatim itu," tambah Zainal.

Sementara itu, di samping meraikan tetamu dengan jamuan berbuka yang pelbagai jenis, majlis tersebut juga dihiburkan oleh beberapa penyanyi seperti Awi Rafael, Adzrin Adzhar, Iqa Mentor dan Keena Mentor.

Manakala barisan penyampai yang hadir ialah Muaz, Odey Petra, Azura, K-Roll, Noel, Zima, Chenta dan Azaril.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: