Tuesday, August 16, 2011

'Golden Dragon' Cabar Diri Rakam Lagu Mandarin

Kumpulan Golden Dragon yang dianggotai (dari kiri) Steve Zhang (vokal), Bertho Yui (keyboard), Sanley Zhong (vokal), Andre Wu (bass), Eicun Lin (vokal) dan Henzt Wei (dram).

PETALING JAYA: Kumpulan muzik berbangsa Cina dari Indonesia, Golden Dragon yang tidak fasih berbahasa Mandarin melakukan percubaan berani apabila tampil dengan lagu-lagu bahasa itu dalam album pertama mereka demi memartabatkan penggunaan bahasa tersebut yang mula digunakan secara terbuka di Indonesia sejak 12 tahun lalu.

Kata vokalisnya Eicun, selepas sekian lama penggunaan bahasa itu terbatas di sana, sudah tiba masanya untuk anak seni seperti mereka menawarkan kelainan dan pembaharuan kepada peminat muzik.

"Sejak ditubuhkan 11 tahun lalu, kami mempersembahkan lagu-lagu Mandarin di merata tempat seperti majlis perkahwinan dan kuil-kuil.

"Namun sebelum ini kami bergerak sebagai pemuzik bebas sehinggalah menjarai pertandingan redAMP 2010 pada Julai tahun lalu.

Vokalis utama, Eicun Lin

"Apabila diberikan peluang ini, kami mahu mempertaruhkan lagu-lagu Mandarin kerana belum ada artis di Indonesia yang mengetengahkan lagu-lagu begini secara komersial dan meluas," katanya yang ditemui di Menara Star di sini, Isnin.

Tambahnya, kelemahan mereka dalam penggunaan dan pemahaman bahasa Mandarin bagaimanapun dapat diatasi dengan baik selepas mendapat bimbingan daripada seorang tutor bahasa ketika rakaman album itu berlangsung di Tune Studios, Klang.

"Dalam kumpulan ini, hanya saya saja yang fasih dalam bahasa Mandarin dan terlibat secara langsung dalam penghasilan lirik lagu. Sementara dua lagi vokalis, Sanley dan Steve hanya pada tahap sederhana saja.

"Bagaimanapun, proses rakaman album ini dibekalkan dengan seorang tutor bahasa Mandarin yang memantau sebutan dan pemahaman pada lirik dan maksud lagu," katanya yang berada di Malaysia sejak 15 hari lalu untuk rakaman album itu.

Album yang memuatkan 11 buah lagu Mandarin itu mengetengahkan genre pop rock dan etnik Cina. Ia diterbitkan oleh komposer dan penerbit muzik terkenal, Roslan Aziz.

Golden Dragon menyahut cabaran merakamkan lagu berbahasa Mandarin walaupun kurang fasih dengan bahasa tersebut.

Mengulas tentang pengalaman bekerjasama dengan Roslan, Eicun berkata, ia merupakan pengalaman yang luar biasa kerana penerbit lagu itu begitu teliti dan arif tentang kualiti muzik sepanjang rakaman berlangsung.

"Dia seorang yang teliti dan bijak tentang muzik dan bunyi. Bayangkan, proses untuk mendapatkan bunyi dram yang terbaik untuk rakaman pun mengambil masa selama dua hari.

"Sepanjang 15 hari di sini, kami bekerja kira-kira 23 jam sehari dan memang tidak cukup rehat. Namun, ia berbaloi demi mendapatkan hasil terbaik untuk album pertama ini," katanya.

Kumpulan dari Jogjakarta ini dianggotai oleh Eicun Lin (vokal), Sanley Zhong (vokal), Steve Zhang (vokal), Bertho Yui (keyboard), Henzt Wei (dram), Andre Wu (bass) dan Dhanny Ji (gitar).

Album sulung yang belum mempunyai judul itu dijangka dipasarkan pada perayaan Tahun Baru Cina tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment