IPOH – Dua lanun warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku salah menyamun sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Jarak, Manjung dekat sini pada 7 Ogos lalu semalam.
Hakim Julie Lack Abdullah dalam penghakimannya berkata, alasan Mohammad Ali, 27, dan Aman Hassan, 30, yang mendakwa terpaksa menjadi lanun kerana dipaksa pemiutang tidak dapat diterima.
“Alasan kedua-dua tertuduh tidak dapat diterima mahkamah memandangkan jenayah yang dilakukan amat serius dan mengancam keselamatan Malaysia,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya di sini semalam.
Terdahulu Mohammad dan Aman yang tidak diwakili peguam ketika prosiding merayu minta diringankan hukuman kerana terpaksa menjadi lanun bagi melunaskan hutang.
“Saya perlu wang kerana isteri saya melahirkan anak kedua melalui pembedahan dan anak saya itu kini sakit. Saya pinjam wang dan terpaksa buat kerja ini (lanun) untuk langsai hutang,” kata Aman kepada mahkamah.
Mohammad juga menjelaskan dia juga terpaksa menjadi anggota kepada sekumpulan lanun diketuai seorang lelaki bernama Chang Kui bagi menjelaskan hutang.
“Semua ini gara-gara hutang. Saya menyesal dan mahu membahagiakan orang tua saya kerana sebelum ini saya tidak pernah membahagiakan mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: