Monday, August 1, 2011

David Archuleta Tidak Goyah Dengan Justin Bieber

David Archuleta

KEGELISAHAN dan gestur tidak keruan jelas terpancar pada penyanyi David Archuleta saat OopStarz! bersemuka dengan penyanyi berusia 20 tahun ini pada petang Isnin lalu.

Menerusi pertemuan singkat kira-kira 15 minit bersempena kunjungannya untuk konsert David Archuleta Live in Malaysia 2011 di Stadium Negara, malam Selasa lalu, beberapa soalan ringkas sempat diajukan kepadanya.

Umum mengetahui Archuleta muncul di persada muzik antarabangsa selepas menggondol gelaran naib juara American Idol (AI) musim ketujuh, tiga tahun lalu.

Bertitik-tolak daripada situ, bintang Archuleta terus bergemerlapan menerusi pakej wajah keanak-anakannya, selain rangkaian lagu yang mengasyikkan.

Namun, baru saja muncul dengan album ketiga iaitu The Other Side of Down pada Oktober tahun lalu, timbul pula desas-desus yang mengaitkan penyanyi remaja ini dengan era kemunduran susulan kemunculan bakat-bakat baru yang lebih memikat.

Malah, apabila hadirnya bintang pop sensasi Justin Bieber yang turut digilai kerana paras rupa yang comel itu, ramai pula membandingkan kedua-dua bintang ini.

Justeru, ketika bersua dengannya, penyanyi lagu Crush itu pantas diajukan pandangannya tentang Justin Bieber dan perbandingan yang disasarkan kepada mereka.

"Justin adalah salah seorang bintang muda yang berbakat dan berjaya. Sebagai penyanyi, kerjayanya berjalan dengan baik. Saya cukup berbangga dengan pencapaian Justin walaupun dia adalah artis baru.

"Namun, jika ditanya adakah kehadiran Justin memberikan impak atau menggoyahkan karier saya, jawapannya adalah tidak kerana perjuangan muzik kami adalah berbeza," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Kemesraan jejaka yang mengakui masih solo ini sepanjang perbualan kami diteruskan dengan pertanyaan mengenai kembara seninya selepas AI.

Balas Archuleta, pelayarannya sebagai anak seni sejak tiga tahun lalu dipenuhi warna-warni dan kejutan. Sejujurnya, dia tidak menjangkakan untuk berada pada tahap hari ini dengan begitu pantas.

"Perjalanan seni saya penuh dengan kejutan. Saya akui sangat terkejut dengan pelbagai perkara dan pengalaman baru yang dilalui setiap hari.

"Terlalu banyak perkara baru yang saya nikmati selain daripada penghasilan muzik. Saya berpeluang untuk mengembara ke seluruh dunia, berkongsi muzik dan menemui peminat yang menyokong perjuangan ini," katanya yang masih belum mempunyai teman istimewa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: