BUAH HATI PENGARANG JANTUNG...kehidupan Nana dan Brian semakin bermakna dengan adanya Althea.
KEHADIRAN Ramadan kali ini memberi seribu makna ceria buat penyampai radio, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana, 28.Bukan saja menerima kehadiran cahaya mata pertama, Althea Raqeem Brian yang kini berusia sembilan bulan, malah Nana juga menyambut Ramadan bersama suami tercinta, Mohamed Raqeem Brian, 36, bagi tahun kedua.
Apa yang menggembirakan bekas penyampai radio Era dan Xfm itu, dia tidak berdepan banyak masalah dalam memberi galakan kepada suami yang baru tiga tahun memeluk Islam kerana Brian dengan rela hati menunaikan rukun Islam ketiga itu dengan bersungguh-sungguh.
Ditanya mengenai persediaan dan berdepan bulan yang mubarak ini, Nana memaklumkan Brian seorang yang cepat belajar dan mudah menyesuaikan diri dengan apa jua situasi.
“Brian tidak berdepan banyak masalah untuk berpuasa memandangkan sebelum memeluk Islam lagi dia sudah biasa menahan lapar dan dahaga pada siang hari.
“Dia juga ada ramai rakan Muslim dan puasa bukan sesuatu yang asing kepadanya.
“Ini tahun kedua kami berpuasa bersama sebagai suami isteri. Tahun lalu saya perhatikan dia tidak pun menghadapi sebarang masalah untuk berpuasa.
“Malah, Brian sudah cukup matang untuk berfikir mengenai tanggungjawabnya dalam menunaikan ibadah puasa seperti orang lain. Saya bangga dengan kesungguhan Brian untuk menunaikan pelbagai tuntutan agama,” kata Nana.
Suasana Ramadan kali ini mungkin lebih berbeza daripada tahun sebelumnya apabila tugas Nana lebih tertumpu kepada menguruskan rumah tangga dan buah hati mereka, Althea.
Akui Nana yang sudah berpindah ke Hot FM, sebagai ibu dan isteri, dia sentiasa memberi keutamaan kepada keluarga dulu seperti memastikan semua tersedia serta menjaga keperluan suami serta anaknya.
“Saya seronok dapat menjaga dan melihat sendiri Althea membesar. Memang pada usia sekarang dia dalam proses membesar dan dia mula lasak sedikit. Maklum saja dia sudah mula belajar merangkak.
“Jadi sepanjang bulan puasa ini saya perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Saya kena imbangi dengan tanggungjawab beribadah, tugas seharian dan juga keluarga,” kata Nana.
Dalam soal kerjaya, bekas peserta Akademi Fantasia 1 (AF1) itu mengambil langkah berhenti daripada kerjaya sebagai penyampai radio Xfm pada 1 Mac lalu.
Ia lebih kepada mahu menumpukan perhatian kepada menjaga anaknya dan rumah tangga. Tugasnya di konti adalah lebih kepada hujung minggu dan kini Nana banyak menjadi pengacara di majlis rasmi serta keramaian.
Kata Nana, keputusan beralih angin itu dibuat selepas mendapat keizinan dan menerusi perbincangan dengan Brian sendiri yang juga kakitangan AMP di Astro.
Menurut Nana, apabila sudah ada anak, jadual hariannya turut berubah berbanding zaman bujang dulu.
“Sekarang contohnya, tak perlu kunci jam kerana setiap pagi suara Althea sudah cukup kuat untuk mengejutkan saya! Mana boleh lagi bangun lambat seperti bujang-bujang dulu. Walaupun dulu emak yang bantu jaga Althea, saya sebenarnya lebih puas kalau dapat menjaga Althea sendiri.
“Buat masa ini saya belum terfikir lagi untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah. Selepas berhenti kerja saya selesa menjaganya sendiri. Setakat ini semuanya masih dapat diuruskan dengan bantuan Brian.
“Dari sudut ekonomi, saya sebenarnya tidak mahu membebankan Brian seorang. Sekurang-kurangnya dengan adanya pendapatan tambahan, dapatlah kami berbelanja lebih sedikit sambil menabung untuk anak.
“Sebab itulah saya bekerja hanya pada hujung minggu dan kalau ada undangan
mengacarakan majlis. Kami dah bersetuju untuk menjaga Althea secara bergilir-gilir,” katanya.
Brian yang bertugas sebagai Pengurus Saluran Hit FM jelas seorang ayah yang penyayang dan gemarkan kanak-kanak. Walaupun Nana kerap berada di samping Althea, anak mereka juga cukup manja apabila bersama Brian.
Sesekali tawa dan aksi Althea mencuri tumpuan ketika sesi fotografi bersama Rap diadakan.
Seperti ibu bapanya, telatah Althea seolah-olah mahu menarik perhatian orang untuk membelai dan mendukungnya.
Nana dan Brian akui mereka tidak sabar-sabar melihat Althea bertatih dan berjalan kelak.
Apa yang nyata, pastinya kehadiran Syawal yang bakal tiba bertambah meriah dengan kehadiran Althea yang menjadi kesayangan seluruh keluarga Nana dan Brian.
Pada kesempatan ini juga Nana dan Brian mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua pembaca Harian Metro.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: