SELAIN daging lembu pengunjung juga berpeluang menikmati spageti, salad dan sebagainya. |
MEMASUKI ruang utama restoran tiga tingkat itu umpama menerjah ke suatu dimensi berbeza yang penuh elegan tetapi penuh dengan ciri-ciri klasik. Dekorasi sangkar yang digantung di siling membuatkan pemandangan lebih berseri enak diserikan lagi dengan bingkai-bingkai gambar menghiasi ruang-ruang dinding restoran berusia tiga tahun itu.
Suasana restoran milik The Real Food Company itu sahaja sudah cukup membuatkan pengunjung berasa tenang ketika menikmati iftar.
Sesuai dengan namanya, MeatWorks yang terletak di Solaris Mont Kiara itu mempertaruhkan menu keistimewaan mereka sempena Ramadan ini iaitu daging lembu.
Menggunakan lembu dari Australia yang diternak di ladang sendiri di Gemas, Negeri Sembilan, kualiti daging-daging lembu di Meatworks dijamin berkualiti tinggi.
Kelembutan daging-daging lembu seperti batang pinang, tulang rusuk, sirloin dan lain-lain yang dimasak sederhana pasti membangkitkan selera anda terutama kepada penggemar daging.
“Ini merupakan kali pertama kita mengadakan bufet Ramadan dan fokus kepada daging lembu.
“Pengunjung akan berpuas hati dengan mutu daging kami kerana di sini kita tidak terlalu memerap daging tersebut kerana mahu mengekalkan jusnya,” ujar Yusry Anuar, 35, chef yang bertugas di restoran itu.
Pada harga RM89++ bagi dewasa dan potongan 50 peratus untuk kanak-kanak yang bawah 12 tahun, pengunjung berpeluang menikmati daging-daging yang kebiasaannya dibeli pada harga yang mencecah hingga ratusan ringgit.
Apa yang menguntungkan, hanya pada harga serendah itu, pengunjung dapat menikmati pelbagai jenis daging lembu di samping menu-menu lain.
Setelah puas menikmati daging, jangan lupa merasai juadah-juadah lain seperti spageti, roti pita, salad, sate dan pelbagai lagi menu yang ditukar setiap hari bagi memberikan pilihan kepada orang ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: