|
| IBU hamil sering bimbang pada kesan berpuasa ke atas bayi yang dikandungnya. – Gambar hiasan |
APAKAH hukum seorang perempuan mengandung yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadan kerana khuatir memudaratkan diri dan anak dalam kandungannya?
JAWAPAN:
Hukum bagi perempuan mengandung yang meninggalkan puasa di bulan Ramadan kerana khuatir memudaratkan diri dan anak dalam kandungannya adalah seperti berikut:
a) Bagi yang hamil atau menyusukan anak, sekiranya ia meninggalkan puasa kerana takut ditimpa mudarat pada dirinya sendiri, wajiblah ke atasnya qada dan tidak wajib fidyah.
b) Sekiranya ia berbuka kerana membimbangi bayi yang berada dalam kandungan atau bayi yang disusukannya ditimpa mudarat, pendapat paling jelas dalam mazhab Syafie ialah wajib qada dan fidyah.
Ini adalah berdasarkan kepada satu riwayat daripada Anas Bin Malik Al-Ka'bi berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah meringankan bagi musafir dalam ibadat puasa dan separuh dari solat dan bagi wanita hamil dan menyusui (ia meringankan) puasa.”
Kesimpulannya, jelaslah hadis di atas merupakan dalil bagi wanita yang sedang hamil atau menyusui dibolehkan berbuka puasa.
Guna ubat penitis mata sewaktu berpuasa
SAYA memakai kanta lekap pada bulan puasa dan menggunakan ubat penitis mata bagi mengelakkan mata menjadi kering. Adakah batal puasa saya?
JAWAPAN:
Mengikut mazhab Syafie dan Ibn Munzir, tidak batal puasa seseorang yang menitiskan sesuatu ke dalam mata sama ada rasanya boleh dirasai di halkum atau tidak.
Ini kerana mata bukanlah lubang rongga yang berhubung dengan halkum. Pendapat ini juga dipegang oleh Abu Hanifah, Ata’, Hassan, Al-Nakhaie dan Al-Auzaie.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: