Tuesday, August 16, 2011

Berkonvoi bangkitkan patriotisme


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (tiga kanan) mamasang bendera pada kenderaan sempena pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 di kampung Paya Luas, Kuantan baru-baru ini


KETIKA Ramadan sudah masuk minggu kedua, persiapan setiap warga negara ini tentu lebih terarah kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menyusul.

Tetapi jangan, lupa kita juga bakal menyambut Hari Merdeka yang ke-54 pada 31 Ogos ini, iaitu dijangkakan sehari selepas Hari Raya.

Sebab itu, ketika asyik memeriahkan Hari Raya yang bakal tiba, jangan pula lupa untuk sama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air. Salah satu usaha yang dilakukan untuk membangkitkan kemeriahan sambutan kemerdekaan itu ialah dengan aktiviti konvoi yang menjelajah ke seluruh pelosok kampung dan daerah di seluruh negara.

Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 (KMJGR) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Julai lalu, dan konvoi mula bergerak pada 1 Ogos.

Yang unik pada tahun ini, konvoi itu bukan sekadar mengedarkan Jalur Gemilang, tetapi turut menjalankan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan bulan Ramadan.

Acara wajib di setiap tempat yang mereka singgah sudah tentu mengedarkan Jalur Gemilang.

Tetapi, untuk tahun ini konvoi tersebut turut mengambil berkat dan semangat Ramadan dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung.

Sebaik sahaja peserta konvoi tiba di lokasi yang ditetapkan mereka akan sama-sama bergotong-royong memasak juadah berbuka.

Gotong royong itu turut membabitkan golongan bukan Islam atas semangat 1Malaysia.

Selepas itu peserta konvoi akan berbuka bersama-sama, solat terawih, bersahur dan menyampaikan bantuan kepada anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin.

“Demi semangat permuafakatan antara rakyat, kami mengambil inisiatif ini supaya bulan yang amat bermakna kepada semua rakyat negara ini dimanfaatkan dengan amalan terpuji, lebih-lebih lagi ketika kita menyambut Ramadan," katanya Ketua Pengarah Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman.

Kembara Merdeka Ramadan itu akan menjelajah ke-149 daerah di seluruh negara sehingga 16 September ini. Ia membabitkan penggunaan 10 kenderaan pacuan empat roda dan 54 motosikal.

Selain mengedarkan bendera kebangsaan untuk dikibarkan sempena sambutan Hari Merdeka, konvoi itu turut menganjurkan majlis berbuka puasa dan sahur di setiap daerah yang disinggahi.

Inisiatif itu kata Ibrahim merupakan satu usaha kecil dalam memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat negara ini terutama pengguna jalan raya.

“Bukan susah untuk menyemarakkan sambutan ini, mereka hanya perlu memasang bendera pada kereta, rumah atau pun bangunan sahaja," katanya.

Kerjasama

Di Kelantan misalnya, konvoi 54 buah kenderaan yang akan menjelajah ke seluruh negeri telah mengagihkan 5,000 Jalur Gemilang, 6,000 rantai kunci 1Malaysia, 2,000 surah yassin, 500 sejadah dan 600 tuala.

Mereka juga menyampaikan sumbangan kepada 300 orang golongan kurang berkeupayaan (orang tua, ibu tunggal, anak yatim dan orang kelainan upaya).

Rombongan kembara juga singgah berbuka puasa di 10 buah masjid dan surau di semua daerah di negeri itu.

Di Terengganu, konvoi membabitkan 30 kenderaan yang bermula di di Kampung Gerai, Besut bergerak ke setiap daerah bagi mengagihkan 3,500 Jalur Gemilang.

KMJGR turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata bagi memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

NGO tersebut bertanggungjawab mengumpul baju daripada orang ramai melalui Internet untuk diagihkan kepada rumah anak-anak yatim.

Kerjasama antara Jabatan Penerangan dan NGO berkenaan menggabungkan majlis penyerahan sumbangan baju itu dan pengedaran Jalur Gemilang yang disertai dengan majlis berbuka puasa.

Pada tahun lalu mereka berjaya mengumpul kira-kira 3,000 helai baju raya yang diagihkan kepada 29 buah rumah anak yatim.

Tahun ini sasarannya sebanyak 10,000 helai yang akan diedarkan kepada rumah anak-anak yatim di seluruh negara.

Serampang dua mata KMJGR bukan sahaja berjaya membangkitkan keceriaan merdeka, tetapi juga membantu mereka yang memerlukan.

Orang ramai pula diminta hadir di setiap lokasi persinggahan konvoi tersebut bukan sahaja sebagai tanda sokongan, tetapi untuk sama-sama menceriakan sambutan Hari Merdeka tahun ini,

Program KMJGR 2011 akan berhenti rehat sempena cuti Aidilfitri dan diteruskan sehingga 16 September dengan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: