Tuesday, August 16, 2011

Kenangan suami iringi Maimun


Maimun menunjukkan lukisan arwah suami yang dihasilkan ketika sedang bertarung dengan penyakit kanser hati.


RIAK wajahnya ceria dan dia masih mampu bergurau mesra. Seakan hidupnya cukup sempurna dikelilingi bunga-bunga bahagia. Beberapa jam berbual dengan wanita ini membuatkan hati kecil bertanya dari mana kekuatan yang diperolehinya?

Namun, tatkala melihat pada kesan-kesan hitam di bahagian tangan dan kaki, pasti siapa jua boleh mengagak apa yang sedang dilaluinya kini.

“Memang rasa panas dan kering tangan serta kaki ni setiap kali menjalani rawatan kemoterapi,” kata Maimun Maidin, yang disahkan menghidap kanser folikular limfoma, enam bulan lalu.

Bayangkan ketika itu dia baru seminggu meratap kehilangan suami tersayang akibat kanser hati, ketulan di paha kanannya pula disahkan doktor sebagai sel kanser yang sedang aktif. Bagaikan dua peluru hidup tepat mengenai diri, namun dia masih mampu tersenyum dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Menurutnya, tujuh orang doktor datang untuk menerangkan keadaan sebenar yang dialaminya ketika itu kerana mereka menyangka dia pasti akan bersedih.

“Saya menerimanya dengan reda dan positif. Saya tidak rasa sedih atau bertanya mengapa saya yang mengalaminya. Cuma air mata ini sukar ditahan bila mengenang suami yang ibarat teman sejiwa sudah tidak ada lagi di dunia,” katanya sambil menahan sebak di dada.

Ada titis-titis jernih mengalir di sudut kelopak matanya usai dia berkata-kata. Namun dengan pantas, dia menyeka dan menarik nafas panjang.

Bagi Maimun, dia tidak mahu mengalah. Penderitaan suami sepanjang dua tahun melawan kanser menjadikan dia cukup mengerti dengan segala keperitan yang harus dilalui.

Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Tapi dia terus tabah. Selepas enam kali menjalani rawatan kemoterapi, rambutnya mula gugur. Begitu juga dengan kening dan bulu mata.

“Dua tiga hari selepas kemoterapi, tekak mula terasa perit. Badan pula rasa tak sedap seperti wanita hamil. Dulu ketika mengandung keenam-enam anak, saya tak pernah rasa seperti ini. Kini baru saya tahu bagaimana keadaan wanita mabuk akibat hamil,” katanya tersenyum.

Bagi wanita yang berasal dari Melaka ini, enam orang anak yang masih muda adalah kekuatan dan penawar suka duka. Katanya, masih banyak lagi perkara yang dia ingin lakukan.

“Empat orang anak masih belum berkahwin. Saya tak mahu mereka rasa sedih jika saya terus bersedih. Saya juga nak melihat mereka bahagia dan berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Ketumbuhan

Bercerita mengenai penyakit yang dihidapinya, Maimun berkata, pada mulanya dia sedar ketumbuhan kecil pada bahagian paha.

“Dah lama saya sedar ketumbuhan ini. Bila pergi berjumpa doktor, mereka kata tak perlu risau kerana ini bisul sahaja,” katanya.

Namun lama-kelamaan, ketumbuhan itu membesar. Lalu dia mendapatkan pandangan pakar dan pelbagai ujian dilakukan kepadanya.

Sehinggalah pada pagi sebelum kematian suami pada pertengahan Februari lalu dia akhirnya menjalani ujian imbasan magnetik resonans (MRI). Dan seminggu selepas itu baru disahkan sebagai kanser folikular limfoma tahap satu gred dua.

Bagaimanapun kata Maimun, dia sedikit pun tidak rasa takut atau bersedih. Kerana baginya, setiap yang berlaku itu ada adalah takdir dan pasti ada hikmah tersendiri.

“Boleh dikatakan semua orang ada penyakit masing-masing. Mungkin saya diuji dengan kanser, tetapi orang lain ada penyakit yang lain pula. Penyakit jantung, sakit mental, masalah rumah tangga juga satu penyakit. Rasanya itu lebih berat lagi,” katanya.

Jelas Maimun, apa pun yang berlaku, dia perlu menghadapinya dengan tabah dan positif. Dalam pada itu, dia juga berikhtiar seboleh mungkin bagi mengubatinya tanpa menyerah sahaja kepada takdir semata-mata.

Kenangan

Tempoh 36 tahun melayar bahtera rumah tangga, kenangan bersama arwah suami, Raja Azaham Raja Adanan menjadi hadiah berharga yang akan dikenang sehingga ke hujung nyawa.

“Bagi saya, selain anak-anak, kenangan bersama arwah adalah kekuatan untuk terus berjuang. Masih terbayang lagi pelbagai perkara yang kami lakukan bersama,” katanya sambil membelek beberapa lukisan yang dihasilkan arwah.

Kata Maimun, mereka berdua berkongsi minat yang sama dalam bidang muzik dan lukisan. Minat itu dipupuk sejak mereka berdua menuntut di Institut Teknologi Mara, Shah Alam sekitar tahun 1970-an lagi.

Menurut wanita berusia 60 tahun ini, rakan-rakan mengibaratkan dia dan suami merpati dua sejoli. Ke mana pergi pasti berdua dan ada sahaja perkara menarik yang dilakukan bersama. Adat berumah tangga ada pasang surutnya, namun mereka tidak pernah menyimpan marah terlalu lama.

“Selepas ini saya berhasrat menyambung kembali minat dalam bidang lukisan. Dah lama saya berhenti melukis kerana memberi tumpuan membesarkan anak-anak dan menjaga suami yang sakit sejak tahun 2008. InsyaAllah, kalau tidak ada halangan, saya juga teringin mengadakan pameran lukisan karya-karya arwah,” katanya sambil tersenyum penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: