Wednesday, August 24, 2011

Aura raya dengan Shiseido




PERCAYALAH bahawa wajah ceria dengan solekan bergaya di pagi raya pasti memberikan satu pesona atau aura positif untuk diri sendiri dan insan di sekeliling. Anda pasti boleh buktikannya sendiri.

Inilah juga masanya untuk anda memberikan satu impak buat seluruh ahli keluarga terutama suami dengan solekan ceria penuh bergaya.

Bagi yang tidak pasti caranya boleh mengaplikasikan idea yang diilhamkan oleh artisan Shiseido, Jimmy Foong.

Mengetahui majoriti wanita memang menggemari warna merah jambu, Jimmy menzahirkan solekan yang paling sesuai untuk mood baju raya anda tahun ini.

BERMULA dengan solekan asas, rahsia untuk memiliki kulit licin mulus tanpa nampak sebarang cela ialah dengan penggunaan Shiseido Makeup Primer, kemudian diikuti dengan Corrector dan kalau masih tidak kelihatan sekata gunakan Natural Finish Cream Concealer.

“Kalau mahukan efek yang lebih nipis, sebaiknya gunakan jari sahaja untuk meratakan krim ke seluruh wajah, tetapi jika mahu efek yang lebih tebal, boleh gunakan sepan atau berus.

“Perlu diingat, jangan sapukan krim dengan tebal di kawasan garis senyum kerana pergerakan ketara di bahagian tersebut akan menyebabkan krim asas tampak tidak sekata,” ujar Jimmy Foong.

Untuk menambah seri, sebelum menggunakan solekan, gunakan Pore Refining di bahagian Zon T diikuti Make Up Based untuk melindungi kulit.

“Seperkara lagi tentang krim asas, pilihlah warna satu ton kurang dari warna kulit, ini kerana warna tersebut akan dioksida apabila bercampur dengan oksigen seterusnya menghasilkan warna adunan kulit yang lebih natural.

“Untuk mencuba krim asas yang sesuai dengan kulit, pastikan anda mencubanya di bahagian rahang, sebelum mengambil keputusan memilih warna untuk dibeli,” tambahnya.

Langkah seterusnya ialah dengan menghasilkan shading atau penggelap untuk mengurangkan fokus di bahagian tersebut. Untuk itu, Jimmy menggunakan bedak pupur yang tona nya lebih gelap dan aplikasikan di bahagian bawah tulang pipi menggunakan berus khas.

“Jika mahukan efek berseri-seri pastikan anda menggunakan highlighting powder di kawasan Zon T,” jelasnya.

UNTUK bahagian kening pula pastikan kening anda mengikut piawaian saiz kening dengan ukuran standard.

“Untuk mengukur arca kening iaitu di bahagian yang paling tinggi, pandang mata ke depan dan bola mata hitam tepi adalah ukuran arca tersebut. Gunakan pensel berwarna perang atau coklat gelap, adun di bahagian pangkal kening dan gelapkan sedikit di bahagian hujung kening,” ujarnya.

PEMBAYANG mata perlu dimulakan dengan warna yang sederhana terang di keseluruhan bahagian kelopak mata.

“Untuk kelihatan lebih ceria di pagi raya, saya memilih warna merah jambu untuk bahagian kelopak atas mata. Untuk efek mata yang lebih seksi dan besar, warna biru gelap dibentuk di hujung ekor mata. Lebih ringkas dan efeknya juga lebih natural,” katanya lagi.

PENGGUNAAN penggaris mata dan maskara perlu diberi perhatian kerana ia akan memberi efek dramatik pada mata.

“Untuk mata seperti Nadiah, saya menggunakan penggaris mata yang kurang tebal kerana matanya sudah sedia besar. Maskara digunakan untuk menampakkan bulu mata yang lebih lebat dan menawan,” jelasnya.

PEMERAH pipi diaplikasi dengan berus besar dan caranya dengan senyum dan sapukan warna lembut seperti merah jambu atau jingga lembut di bahagian pipi yang timbul ketika anda senyum. Sapu rata dan pastikan berus anda diketuk sedikit untuk membuang sedikit habuk sebelum disapukan ke atas pipi.

AKHIR sekali gunakan gincu yang lebih lembut warnanya kerana tidak mahu banyak titik fokus di bahagian wajah.

“Bila mata sudah disolek hebat, pastikan warna gincu yang digunakan lebih lembut, begitulah juga sebaliknya. Selepas gincu, oles sedikit glos di bahagian tengah bibir atas dan bawah sahaja,” ujarnya.

NADIAH yang tampil begitu menawan di Hari Raya dengan solekan dari Koleksi Solekan Shiseido.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: