|
|
SEBELUM mengambil keputusan untuk terjun dalam dunia hiburan, Alvin Anthons, pernah melakukan kerja rencam.
Dia bermula sebagai seorang pekerja am bersama sebuah syarikat penganjuran majlis yang menyediakan perkhidmatan sistem bunyi pada 1995.
Ketika itu, tugasan hakikinya adalah sebagai pemunggah alatan pembesar suara ke dalam dewan dan menyusun kembali peralatan dalam lori. Dek kerana minat dan kebolehannya, majikan Alvin memberinya peluang untuk bertindak sebagai DJ.
Sekiranya pengacara majlis yang dilantik oleh syarikat majikannya tidak dapat hadir, Alvin pantas dipilih sebagai pengganti sebagai DJ atau pengacara.
“Pengalaman saya dalam bidang penganjuran majlis memang luas,” ujar Alvin dalam satu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.
Berkhidmat dalam bidang penganjuran majlis menuntutnya melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi badut.
Berbekalkan kostum badut yang berwarna-warni serta solekan tebal, Alvin tidak malu untuk beraksi. Baginya pengalaman itulah yang menjadi bekalan dan guru untuk dia menjadi seorang penghibur yang hebat.
“Saya tidak malu menjadi badut, bahkan ia merupakan pengalaman yang baik untuk menjadi seorang penghibur hebat.
“Saya belajar bagaimana jika orang gemarkan persembahan kita mahupun tidak menyukainya. Di sebalik kostum itulah saya belajar menjadi penghibur,” jelas jejaka yang berketinggian 180 sentimeter itu.
Setelah lama menimba pengalaman, Alvin menubuhkan syarikat penganjuran majlis miliknya sendiri pada tahun 2000 atas nama Mainstream Entertainment.
Alvin turut berpeluang menyertai dunia penyiaran sebagai pengacara bagi program bual bicara di TV2 iaitu Lets Talk.
Perkenalannya dengan komposer terkenal, Ajai pada satu majlis yang dikendalikan oleh syarikatnya itu mendekatkan impiannya bergelar penyanyi.
“Bidang penganjuran majlis membuka peluang untuk saya mengembangkan bakat, peluang berkenalan dengan komposer terkenal termasuk Ajai,” ujar usahawan itu.
Tampil dengan single pertamanya yang berjudul Berdua, Alvin yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Wake The Baby itu ingin mengorak langkah memenangi peminat Melayu.
Dia menjadikan pelantun lagu Gemilang, Jacklyn Victor sebagai penanda aras sebagai penyanyi India yang diterima oleh peminat Melayu.
“Saya kagum dengan Jacklyn bukan sahaja kerana kehebatannya melantunkan suara bahkan kejayaan dia memenangi hati peminat Malaysia.
“Jadi sebagai permulaannya saya tampil dengan sebuah lagu Melayu berkonsepkan pop rock ini dengan harapan agar diterima oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya yang pernah membintangi iklan televisyen seperti Twisties, DiGi dan Sunsilk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: