Tuesday, August 23, 2011

Alleycats janji beri terbaik

Kumpulan Alleycats akan mengadakan Konsert Sampaikan Salamku pada 16-18 September ini di Istana Budaya Kuala Lumpur. Peminat kumpulan popular itu pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikannya.

Malah penyanyi utamanya, Datuk David Arumugam juga teruja untuk kembali menggegarkan pentas berprestij itu. Mereka menjanjikan persembahan yang akan meninggalkan kesan mendalam kepada peminat.


Janji persembahan terbaik.

"Kami ada banyak lagu yang diminati, jadi kami akan menyanyikan beberapa lagu berlainan setiap malam. Banyak lagu popular daripada 30 buah album kami, jadi kami mahu memuaskan hati semua peminat.

"Sebab itu kami terpaksa menyanyikan beberapa segmen medley bagi membolehkan peminat menikmati lebih banyak lagu." kata David kepada Mangga Online.

David masih aktif di kelab malam.

Ada juga segmen khas lagu-lagu popolar mendiang Loga yang akan dinyanyikan oleh anak perempuan Loga dan penyanyi Alleycats sendiri, Glenn. Mereka juga menyelitkan segmen lagu-lagu berkonsep 1 Malaysia.

Mereka tiada masalah berlatih kerana sehingga hari ini masih aktif mengadakan persembahan di kelab. Sekarang pun Alleycats yang menampilkan hanya David sebagai anggota asal itu ada kontrak di sebuah kelab di Lembah Klang.

"Semestinya lagu-lagu yang dipersembahkan di kelab tidak akan sama dengan lagu-lagu pada malam konsert nanti. Tapi ada juga peminat lokal yang turut meminta kami mempersembahkan lagu popular Alleycats di kelab.

"Antara lagu wajib yang sering diminta ialah lagu Sampaikanlah Salam Cintaku," jelas David yang sudah mencecah usia 61 tahun.

Malah sepanjang dua jam berkonsert, David juga akan menyanyikan lagu permintaan penonton sekiranya lagu-lagu tersebut tidak disenaraikan pada malam tersebut. Dia mahu peminat rasa dekat dengan mereka.

Lagu penuh makna


David juga mengakui bertuah memiliki banyak lagu popular yang meresap ke jiwa peminat sehingga sekarang. Lagu cinta yang kena dengan sesiapa sahaja membuatkan ia senang diterima.

"Lagu-lagu kami mempunyai lirik penuh makna dan menyentuh hati semua orang. Saya pernah didatangi peminat dalam satu persembahan tidak lama dulu. Mereka sepasang suami isteri datang berterima kasih kepada saya kerana lagu Alleycats menjadi sebab mereka berjumpa.

"Mereka teringin sangat bertemu saya untuk menyatakan hubungan mereka bermula menerusi lagu Alleycats. Saya juga tak sangka sampai begitu pengaruh lagu-lagu Alleycats. Tapi saya seronok bila mendegar Allaycats sudah menyatukan dua hati.

"Lagu-lagu cinta yang dirakam lebih 30 tahun lalu masih boleh jadi lagu relevan dengan anak muda yang bercinta hari ini," kata David lagi.

Penguasaan bahasa Melayunya yang kurang fasih menjadi salah satu sebab mengapa nyanyiannya masih boleh diterima dan sedap didengar.

"Saya kurang fasih berbahasa Melayu pada masa itu, jadi semasa merakam lagu, saya berhati-hati agar tidak tergelincir, sebab itulah kalau didengar, bahasa nyanyian saya bersih," jelasnya.

Tiket menonton konsert Alleycats di Istana Budaya boleh didapati sekarang. Untuk tempahan boleh layari www.ticket2u.biz. Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-41478600.

Konsert tersebut dibawakan oleh AM Event Management dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Istana BUdaya serta Kumpulan Utusan sebagai akhbar rasmi dan Sinar FM bertindak selaku stesen radio rasmi.

sebanyak RM5 daripada harga tiket yang dijual akan disumbangkan kepada MAKNA. Bermakna, setiap penonton turut beramal sembil menonton persembahan lagu-lagu popular Alleycats.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: