Tuesday, August 23, 2011

Adam, Syazwan, Talha dan Idzlan hantu mercun



Jika disebut nama Adam Shah, Syazwan Zulkifly, Talha Harith dan Idzham Ismail, mungkin ada yang berkerut dahi sambil membayangkan siapakah gerangan mereka berempat.

Namun, apabila sebut saja nama Ayam, Apek, Black dan Panjang, pasti ramai yang kembali mengingati wajah-wajah nakal yang membintangi drama Juvana di TV3 sedikit masa lalu.

Sejak tamatnya drama berkenaan, peminat mula memberikan perhatian terhadap bakat lakonan yang dimiliki empat pemuda terbabit.

Pertemuan semula Adam, Syazwan, Talha dan Idzham dalam program rakaman Melodi Raya, baru-baru ini, menjadikan suasana gamat dengan keletah mereka.

Masakan tidak, kesemuanya yang masih muda sangat akrab dan mempunyai ‘kepala’ yang sama sejak terbabit dalam drama yang berjaya mencatat ‘rating’ tertinggi iaitu 4.2 juta penonton.

Apabila berkongsi kisah mengenai Syawal yang bakal tidak lama lagi, masing-masing mempunyai satu persamaan iaitu suka bermain mercun sewaktu kecil.

Menurut Adam, dia masih tidak dapat melupakan kejadian baju Melayunya terbakar akibat dibaling dengan mercun oleh sepupunya.

“Oleh sebab takut ibu marah, saya pulang ke rumah tanpa memakai baju Melayu dan memberi alasan baju saya dicuri.

"Rupa-rupanya ibu saya tetap marah dan apa yang paling melucukan ialah sehingga sekarang ibu saya masih tidak mengetahui kejadian sebenar,” katanya mengimbau kenangan ketika berada dalam darjah empat itu.

Sementara kisah Idzham yang memegang watak Panjang tidak kurang menariknya kerana dia hampir-hampir menjadi mangsa mercun ketika di tingkatan satu.

“Ketika itu, saya bermain mercun roket yang ditanam di dalam pasu dengan harapan ia akan terbang lebih tinggi.

“Namun, sebaliknya yang berlaku kerana mercun itu terbang ke arah saya dan hampir mengenai muka,” katanya yang tidak serik untuk bermain mercun selepas kejadian itu.

Tidak ketinggalan adalah kisah nakal Talha dan sepupunya yang leka bermain mercun tanah pada malam raya sehingga tidak menyedari kehadiran polis.

“Mercun tersebut ditanam di dalam tanah dan menghasilkan gegaran kuat sehingga orang di dalam rumah pun dapat merasainya.

“Tak sangka pula ada anggota polis yang meronda, apa lagi lintang pukanglah kami berlari kerana ketakutan,” katanya.

Jika rakan-rakan lain dengan beraninya bermain mercun, lain pula kisahnya dengan si pemegang watak Apek, iaitu Syazwan.

“Saya main mercun juga tetapi saya tidak berani mencuba mercun yang agak berbahaya seperti meriam buluh dan sebagainya.

“Apa pun, saya tetap seronok memerhatikan kawan-kawan bermain mercun kerana barulah terasa kemeriahannya berhari raya,” katanya.


Konvoi raya budak Juvana

Jangan tidak tahu, keempat-empat pelakon Juvana ini sememangnya rapat di luar lokasi sehingga bercadang untuk berhari raya bersama-sama.

Menurut Talha, rakan-rakannya yang lain akan berkumpul di Melaka dahulu sebelum berkunjung ke rumahnya di Johor.

“Secara kebetulan mereka bertiga berasal dari Melaka, maka senanglah untuk berkumpul dan gerak bersama.

“Kemungkinan mereka akan beraya di rumah saya pada hari raya keempat atau kelima dan berada di sana selama beberapa hari,” katanya.

Selain berhari raya di rumah kawan-kawan, Adam berkata, konvoi yang dilakukan juga dapat mengeratkan hubungan dengan peminat.

“Setakat ini, kami masih belum pernah berjumpa peminat di Melaka dan Johor, jadi inilah masanya yang sesuai untuk kami beraya bersama mereka.

“Jika ada rezeki lebih, saya akan mengadakan rumah terbuka khas untuk peminat pada hari raya ketiga yang turut dihadiri rakan-rakan Juvana,” katanya.

Menurut Adam, peminat yang tidak mahu melepaskan peluang beraya bersama mereka boleh mengikuti perkembangan semasa di laman Twitter dan Facebook.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: