Monday, May 2, 2011

Lazo Diamond jenama eksklusif barang kemas



Umum mengakui emas adalah antara barang paling akrab dengan wanita. Wanita seperti tidak lengkap tanpa kilauan emas, sehingga ada pihak menganggap emas sebagai ‘sahabat baik’ seorang wanita. Tidak kiralah sama ada emas kuning atau emas putih.

Melihat kepada fenomena itu, Lazo Diamond Jewellery Sdn Bhd mengambil peluang menceburi industri barangan kemas.

Lazo Diamond adalah antara syarikat telah lama bertapak di negara ini dan optimis melihat kepada pertumbuhan pesat industri ini. Lazo Diamond sentiasa fokus dan kreatif dalam memastikan produk barang kemas keluarannya memiliki ‘imej’ eksklusif tersendiri.

Barangan kemas seperti cincin, gelang dan rantai ditawarkan pada harga mampu beli oleh kebanyakan masyarakat di negara ini.

Dimiliki syarikat emas terkenal, Weng Kwong Jewellers, jenama Lazo Diamond berkembang sebagai pengeluar perdana emas putih dan berlian.

Ia ditubuhkan pada 2003 dan direka untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap barangan kemas setiap hari.

Bermula dengan pembukaan cawangan pertama di Berjaya Times Square, Lazo Diamond kini dikenali sebagai syarikat emas terkemuka dengan jumlah kakitangan mencecah 500 dan sedia ada kini 65 cawangan di seluruh negara.

Perluasan rangkaian cawangannya bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, malahan di Malaysia Timur.

Bermula di Kuala Lumpur, Johor, Alor Setar sehingga ke Sabah dan Sarawak, Lazo Diamond terkenal dengan kualiti, nilai dan keunggulan barangan kemasnya.

Pengarah Pemasarannya, Julian Lim berkata, pasaran Lazo Diamond bukan sahaja terdapat di dalam negara sebaliknya turut terlibat di dalam pameran barangan kemas antarabangsa di Hong Kong, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Indonesia.

“Tahun ini, kami akan memberi fokus kepada pasaran tempatan dengan meluaskan rangkaian Lazo Diamond dengan membuka lima cawangan menjelang akhir 2011, selain itu aspek kualiti produk turut ditekankan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, setiap produk diberi jaminan nilai jualan semula sehingga 70 peratus dan khidmat pembersihan barangan kemas.

Julian berkata, sebelum ini, emas putih dan berlian sering dianggap sebagai barang kemas golongan berada, namun kini ia tidak lagi dianggap sebegitu.

“Usaha berterusan kami dalam menawarkan barangan kemas tulen pada harga rendah kini dipandang dan ia menunjukkan tanda positif,” katanya.

Menurutnya, bagi tempoh lima tahun akan datang, syarikat optimis dalam mencapai hasrat membuka cawangan di negara Asia Tenggara.

Tambahnya, hampir 75 peratus pelanggannya melibatkan kaum Cina. Manakala, 25 peratus adalah Melayu, selebihnya India.

Berikutan itu, pada tahun ini, syarikat berhasrat menarik lebih ramai pelanggan Melayu dan India.

“Kami melihat potensi besar meningkatkan segmen pasaran masyarakat Melayu dan India. Namun, usaha besar diperlukan untuk memupuk minat mereka terhadap emas putih. Kami sedang mencuba memenuhi kehendak rekaan mereka di mana setiap bangsa mempunyai cita rasa berlainan,” katanya dengan penuh semangat.

Menurutnya, Lazo Diamond berjaya mencapai peningkatan 10.8 peratus tahun lalu dan berhasrat mengekalkan peningkatan dua digit pada tahun ini dengan 18 peratus menjelang akhir tahun.

“Kami akan terus bekerja keras dan memastikan kata-kata ‘Berlian kini bukan lagi mimpi’ sebagai satu semangat untuk kami menghasilkan barangan kemas murah, namun berkualiti tinggi.

“Matlamat kami mengotakan kata-kata ‘Setiap orang memiliki berlian’ di Lazo Diamond Jewellery,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: