Monday, March 28, 2011

Swasta bantu pendidikan di luar bandar, pedalaman


Wakil HSBC, duta Jerman, Knorr-Bremse dan Borneo Child Aid bergambar bersama murid Pusat Pendidikan Anak-anak Bajau Laut pada Majlis perasmian pusat tersebut di Kampung Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah, baru-baru ini.


HSBC Bank Malaysia menyatakan sokongan dan keprihatinan mereka dalam usaha membantu meningkatkan prestasi akademik anak-anak Bajau Laut di Sabah dengan memajukan Pusat Pendidikan di Kampung Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna baru-baru ini.

Kemudahan di Pusat Pendidikan berkenaan mampu memberi manfaat kepada kira-kira 350 anak-anak Bajau Laut di kawasan itu.

Ketua Kumpulan Komunikasi HSBC Bank Malaysia Berhad, Elizabeth Wee berkata, projek pendidikan itu merupakan kerjasama antara tiga pihak iaitu HSBC, syarikat pengeluar sistem brek untuk rel serta kenderaan komersial dari Jerman, Knorr-Bremse dan sebuah organisasi tempatan, Borneo Child Aid.

"HSBC telah menyokong usaha Borneo Child Aid di Sabah sejak 2007 melalui Program Pendidikan Global HSBC yang menyediakan capaian pendidikan kepada kira-kira 1,600 kanak-kanak kurang bernasib baik.

"Kerjasama antarabangsa ini merupakan satu peluang terbaik untuk bank bekerja dengan para pelanggan yang mempunyai haluan sama," katanya pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Anak- Anak Bajau Laut di Kampung Pantau-Pantau, Semporna, baru-baru ini.

Majlis perasmian itu turut disempurnakan oleh Duta Jerman ke Malaysia, Dr. Guenter Georg Gruber.

Hadir sama, Pengarah Projek Borneo Child Aid, Torben Venning; Pakar Kanan Pembelian Selepas Pasaran Knorr-Bremse, Christian Kufner dan wakil Germany Trade and Invest, Thomas Hundt.

Wee berkata, HSBC Bank Malaysia menyumbangkan RM504,000 bagi membiayai guru, bahan mengajar dan penyenggaraan tapak projek sepanjang tempoh tiga tahun.

"Knorr-Bremse pula menyumbang dari segi pembinaan dan infrastruktur pusat-pusat pengajian termasuk sebuah sekolah berpusat, sekolah atas kaki bajang dan sekolah bot.

"Sementara Borneo Child Aid pula ditugaskan untuk menyediakan guru dan pelajar serta menyelia keseluruhan sekolah itu," jelas beliau.

Sementara itu, Gruber berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak kerana telah bekerja keras bersama-sama bagi merealisasikan projek untuk membantu kanak-kanak terbabit.

"Anak-anak merupakan harapan masa depan dan mereka sangat memerlukan ilmu pengetahuan agar dapat membesar menjadi manusia yang berilmu.

"Dengan ilmu pengetahuan, mereka ini kelak akan dapat menjadi insan sempurna, seterusnya membantu mengubah nasib keluarga," terangnya.

Menurut Wee, pendidikan telah lama menjadi inisiatif kepada HSBC kerana pihaknya percaya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan.

"Kami juga percaya bahawa pendidikan adalah penting di mana ia membuka peluang untuk generasi muda dengan membantu meningkatkan pencapaian akademik dan kemahiran hidup mereka," ujarnya.

Jelas beliau, masyarakat Bajau Laut secara tradisinya tidak mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah disebabkan hidup secara nomad ditambah dengan kekurangan sekolah di pulau-pulau berdekatan.

"Majoriti anak-anak Bajau Laut tidak mempunyai pendaftaran kelahiran yang menjadikan keadaan lebih sukar untuk mereka mendaftar di sekolah-sekolah tempatan," katanya.

Tambahnya, pihak HSBC berharap agar komuniti di sini akan melihat pusat-pusat pengajian ini sebagai pintu untuk anak-anak mereka ke sekolah dan mendapatkan pendidikan asas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: