Tuesday, March 29, 2011

Superfriends gabungan ikon rock tanah air


GANDINGAN mantap. (Dari kiri), Azlan, Mus (May) dan Awie.


TENTU ramai peminat rock mengimpikan untuk menyaksikan satu persembahan yang mengabungkan otai-otai rock yang pernah mencipta nama pada era 80-an dahulu.

Kini, impian tersebut bakal terlaksana melalui konsert yang akan menyaksikan ramai lagenda rock tanah air membuat persembahan di pentas yang sama melalui satu gabungan yang dikenali sebagai Superfriends.

Bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, Superfrieds dijadualkan menghiburkan orang ramai bersempena dengan Konsert Wings Opera Hidup bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Pengarah Urusan Bombay Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali Bombay berkata, Superfriends adalah gabungan ikon rock yang pernah menguasai arena rock yang hilang sebelum ini.

“Boleh dikatakan Superfriends ini adalah sebuah tribute kepada ikon-ikon rock yang telah mencipta sejarah dan fenomena dalam industri muzik tanah air suatu ketika dahulu.

“Untuk persembahan selama dua hari nanti mereka akan menyanyikan lagu-lagu rock yang pernah menjadi siulan dan akan diberi nafas baru serta susunan muzik yang lebih menarik,” ujarnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Antara ikon tersebut termasuklah Man Kidal, Kid Search, Yazit Search, Edrie Hashim, Rosli Mohalim, Nash, Hillary, Yan, Ujang, Hattan, Ramli Sarip, Mus May, Azlan & The Typewriter, Yantzen, Lola dan Datuk M. Nasir.

Menurut Bombay, pemilihan ikon rock untuk menganggotai Superfriends ini adalah yang terbaik dan memang begitu semangat untuk memperjuangkan muzik rock sehingga ke hari ini.

“Sebanyak lima konsert yang akan diadakan nanti bermula 29 April hingga 1 Mei, di mana Superfriends membuat persembahan matinee pada hari Sabtu dan Ahad, manakala Konsert Wings Opera Hidup berlangsung pada sebelam malam,” ujarnya.

Sementara, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaari berkata, konsert yang berlangsung selama tiga hari itu pastinya memberikan satu kelainan dengan menampilkan ramai penyanyi rock terkenal tanah air.

Jelasnya, setakat ini sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan dan ia dilihat menerusi tiket yang kini sudah terjual sebanyak 60 peratus.

“Ketika ini tiga kategori tiket sudah pun habis dijual iaitu yang berharga RM65, RM85 dan RM125. Malah, kami menjangkakan lain-lain tiket akan habis menjelang hari persembahan nanti,” ujarnya.

Gimik


INILAH barisan ikon rock tanah air bergelar Superfriends yang bakal berkongsi pentas Konsert Wings Opera Hidup.


Menurut Awie, sesuatu yang menarik tentang Konsert Wings Opera Hidup itu mereka turut mendapat perhatian sebuah syarikat antarabangsa iaitu Harley Davidson dan telah bersetuju untuk menjadi salah satu penaja.

Jelasnya, sebagai simbolik atas tajaan tersebut, Wings akan melakukan gimik dengan meletakkan tiga buah motosikal kuasa tinggi Harley Davidson di pentas ketika persembahan kemuncak pada 1 Mei nanti.

“Pasti ramai yang tahu bahawa Harley Davidson adalah satu jenama yang begitu terkenal di seluruh dunia dan bukan mudah untuk mereka menaja sesebuah konsert.

“Namun kami sangat gembira kerana mereka bersetuju menjadi salah satu penaja konsert ini dan bagi saya sendiri ini merupakan satu penghormatan yang begitu besar terhadap kumpulan kami,” ujarnya selaku vokalis Wings.

Tambah Awie lagi, selain sokongan syarikat bertaraf antarabangsa, Wings juga turut menghargai peluang yang diberikan oleh pihak Istana Budaya untuk mereka membuat persembahan di situ.

Sementara itu, Azlan & The Typewritter yang merupakan satu-satunya penyanyi muda yang terpilih meluahkan rasa teruja untuk membuat persembahan bersama lagenda rock tanah air.

Ujarnya, dia terbabit untuk menjayakan konsert berkenaan adalah atas undangan daripada Joe Wings sendiri dan merasakan peluang berkenaan tidak harus dilepaskan sama sekali.

“Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu rock dan tidak ada masalah untuk bergaul dengan mereka yang sudah mempunyai nama besar dalam industri rock ini.

“Semasa persembahan itu nanti saya akan menyanyikan tiga buah lagu. Dua daripadanya adalah lagu kumpulan Wings sendiri manakala satu lagu lagi masih belum ditentukan lagi,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: