Monday, March 14, 2011

Saya bukan gay! - Arja Lee




TIDAK dinafikan bahawa sejak dari awal proses pembikinan filem ... Dalam Botol terbitan JAS Sdn. Bhd. pelbagai halangan yang terpaksa dilalui oleh penerbitnya iaitu Raja Azmi Raja Sulaiman.

Bermula dengan tajuk asalnya yang terpaksa diubah atas arahan Lembaga Penapisan Filem (LPF) beberapa babak yang dikatakan boleh mencetuskan kontroversi sehingga masalah kewangan yang dihadapi.

Malah, di sebalik pelbagai kisah kontroversi yang melanda, Raja Azmi turut mengambil risiko dengan memperkenalkan dua orang pendatang baru iaitu Arja Lee dan Wan Raja untuk memegang watak utama.

Namun begitu, Raja Azmi kini boleh menarik nafas lega kerana akhirnya filem yang diarahkan oleh Khir Rahman itu akan menemui penonton di seluruh negara pada 24 Mac ini.

Menurut Azharudin Ramli yang juga dikenali sebagai Arja Lee, dia mengakui menerima tawaran untuk memegang watak Ruby kerana sangat tertarik dengan jalan ceritanya yang diangkat daripada sebuah kisah benar.

"Saya akui memang agak sukar dan mencabar untuk membawakan watak sebagai Ruby dalam filem ini. Bayangkan ketika itu saya merupakan seorang pelakon baru yang langsung tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan.

"Namun saya menganggap itu semua adalah sebagai satu cabaran dalam hidup saya semata-mata menggapai impian untuk bergelar seorang pelakon suatu hari nanti," ujarnya.

Tambah Arja, selain membuat kajian dengan membaca tentang lelaki bersifat homoseksual untuk mendalami watak Ruby, dia juga turut bergaul dengan golongan lelaki gay.

"Sebenarnya dengan cara sebegitu juga banyak membantu saya untuk menghayati watak berkenaan. Malah, dengan kerjaya sebagai penari sebelum ini, ada di kalangan rakan lelaki saya yang terdiri daripada golongan tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Arja menjelaskan bahawa dia tidak kisah sekiranya dilemparkan tuduhan oleh segelintir pihak yang mengatakan dirinya seorang lelaki gay kesan daripada filem tersebut.

"Ramai yang bertanya sama ada saya ini gay atau tidak. Jawapannya, saya adalah lelaki normal. Ruby hanyalah sekadar watak yang diberikan dan ia langsung tidak mempengaruhi kehidupan saya di luar," katanya yang mempersetankan tanggapan liar khalayak asal kerluarga tahu orentasi dirinya sebenar.

Sebagai pelakon baru, Arja turut mengharapkan sokongan daripada peminat dan menjelaskan dia sudah bersedia untuk menerima sebarang komen dan kritikan daripada penonton menerusi filem sulungnya itu.

Sementara, bagi Saiful Redzuan Abu Bakar atau lebih dikenali dengan panggilan Wan Raja, dia sendiri sememangnya tidak pernah menyangka untuk terpilih memegang salah satu watak utama iaitu sebagai Ghaus.

Menurut pelakon kelahiran Pulau Pinang itu, asalnya dia sekadar menemani salah seorang rakan yang menghadiri sesi uji bakat untuk mencari watak utama filem itu yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

"Pada masa itu memang tiada niat langsung untuk terbabit dalam sesi uji bakat itu. Sebaliknya, saya hanya melihat kehadiran ramai pelakon yang mahu mencuba nasib.


ADAKAH mesej di sebalik cinta sejenis yang cuba dipaparkan dalam ... Dalam Botol akan difahami oleh khalayak kelak.


"Kemudian apabila Raja Azmi lalu di hadapan saya, terus dia bertanya sama ada saya berminat untuk turut serta. Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju dan akhirnya berjaya pada sesi uji bakat tersebut," jelasnya.

Bagaimanapun, tidak bermakna dia terus berjaya memegang watak berkenaan. Sebaliknya dia terpaksa bersaing dengan dua orang lagi aktor popular iaitu Norman Hakim dan Fauzi Nawawi di peringkat akhir.

"Bayangkan pada masa itu saya terpaksa bersaing dengan dua orang lagi pelakon yang sangat popular.

"Boleh dikatakan saya tidak terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk menjadi pilihan ramai. Namun mungkin sudah menjadi rezeki saya, akhirnya saya berjaya memegang watak tersebut," ceritanya.

Ujarnya lagi, biarpun perasaan seronoknya ketika itu sukar untuk digambarkan, tetapi luahnya dia merasa agak tertekan kerana menyedari tanggungjawab yang begitu besar untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh peminat serta penerbit yang telah memilihnya.

Berhenti kerja

Biarpun namanya hanya mula dikenali selepas membintangi filem ... Dalam Botol, tetapi Wan Raja sebenarnya sudah mula bergiat aktif dalam bidang seni sejak dia menuntut di universiti lagi.

Mengambil jurusan Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi Wan menjelaskan bahawa semasa di universiti dia sering terbabit dengan persembahan teater.

"Selepas tamat belajar, saya pulang semula ke Pulau Pinang dan bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta. Namun pada masa yang sama saya masih lagi meneruskan aktiviti teater," katanya yang pernah mewakili Pulau Pinang ketika festival teater kebangsaan.

Malah kecintaannya terhadap bidang lakonan telah membuka pintu buat dia berlakon sehingga mengambil keputusan nekad untuk meletakkan jawatan sebagai pensyarah pada penghujung tahun 2008.


Arja dan Wan Raja menjadi pasangan kekasih dalam ... Dalam Botol.


"Saya jenis yang sukar untuk buat pelbagai pekerjaan dalam satu masa. Ketika menjadi pensyarah, saya juga terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur hingga mengabaikan para pelajar saya. Akhirnya saya ambil keputusan berhenti mengajar untuk memberi sepenuh tumpuan dalam bidang lakonan," katanya yang juga berkebolehan menulis skrip.

Masih menuntut

Berbanding Wan Raja yang kini aktif dunia lakonan, Arja Lee pula terpaksa menolak tawaran berlakon yang diterima memandangkan kini dia masih lagi menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Lakonan dan Pengarahan.

Ujarnya yang kini berada di tahun dua pengajian, buat masa ini dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran terlebih dahulu sebelum kembali berlakon.

"Walaupun telah ditawarkan berlakon banyak kali, namun keputusan saya tetap sama iaitu mahu memberi fokus terhadap pelajaran. Pada saya, pelajaran sangat penting untuk masa hadapan," ujar pelakon berusia 28 tahun itu lagi.

Bagaimanapun, sebelum terbabit dalam filem ... Dalam Botol, Arja sebenarnya pernah terbabit dalam pementasan teater seperti Puteri Gunung Ledang The Musical 1 dan 2 serta Mahsuri dan Kaki Blue.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: