PETALING JAYA: Terbaru di slot Samarinda, siri drama 25 episod terbitan Enuja Production, Sahara bakal disiarkan pada 30 Mac ini, setiap Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam.
Nukilan skrip oleh novelis popular, Sharifah Abu Salem dan diarahkan oleh Jamal Khan, Sahara menampilkan pelakon Nanu Baharudin yang sekian lama tidak beraksi di kaca televisyen bergandingan dengan pendatang baru seperti Tasha Shilla dan Ammar Alfian.
Siri drama yang menghiasi slot Samarinda berkisarkan perebutan harta dan cinta di golongan keluarga korporat.
Kali ini, Sahara yang mengisahkan kisah cinta dua wanita yang mempunyai talian persaudaraan, Sahara dan Tina akan memberikan satu kejutan kepada para penonton pada penghujung ceritanya.
Gandingan pertama antara pelakon berpengalaman seperti Nanu Baharudin dengan Tasha Shilla pasti memberi satu kelainan bagi penonton setia slot Samarinda.
Nanu Baharudin banyak bermain emosi dengan watak Sahara yang bersedia untuk berkorban apa sahaja demi kebahagiaan adiknya, Tina (Tasha Shilla).
Sahara amat menyayangi adik tunggalnya, Tina sehingga sanggup memenuhi segala kemahuan Tina asalkan Tina bahagia.
Tindakan Sahara yang terlalu memanjakan Tina sering ditegur oleh ibu mereka, Rahimah. Hubungan Sahara dan Tina amat rapat walaupun jarak usia mereka sebanyak 18 tahun.
Akan tetapi kemunculan Ashraf (Ammar Alfian) di dalam hidup mereka akan mengubah segala-galanya.
Tina menganggap Sahara sebagai penghalang cinta untuk memiliki Ashraf. Dia mula bersikap dingin dan sengaja menyusahkan Sahara di pejabat ataupun rumah.
Sahara terkilan dengan sikap kasar Tina namun dia terpaksa menelan segala kepahitannya kerana menyimpan satu rahsia keluarga yang bakal mengubah nasib Sahara dan Tina.
Rahimah pula tidak bersetuju dengan tindakan Sahara yang menyerahkan segala urusan syarikat kepada Tina.
Sahara rasa bersalah kerana Tina bukan pilihan Ashraf dan ingin menebus kehilangan Tina dengan keputusan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: