Tuesday, March 22, 2011

Riuh di Pasir Gudang

pix_gal0
Peminat terhibur dengan kemunculan lebih 20 finalis ABPBH 2010 di selatan tanah air

PELBAGAI telatah peminat dapat dilihat sebaik saja lebih 20 artis popular yang juga finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bergilir-gilir naik ke pentas utama pusat beli-belah Kompleks Pasir Gudang Johor, Ahad lalu.

Siri jelajah kelima yang diadakan semata-mata untuk mendekati penyokong setia mereka itu sememangnya cukup bermakna kerana memberi peluang kepada Top 5 menyatakan penghargaan dengan cara tersendiri.
Malah kehadiran rombongan ABPBH 2010 yang sudah berkampung di pusat beli-belah itu sejak Sabtu untuk saringan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) disambut mesra peminat dan pengurusan kompleks berkenaan.
Nyata peminat di selatan juga sama hebatnya dengan zon lain. Sebaik saja bas Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd yang membawa rombongan dari Kuala Lumpur tiba di pintu masuk kompleks, semakin ramai pengunjung datang.

Hingga jam 7 malam apabila persembahan berakhir, kira-kira 5,000 penonton tidak berganjak daripada tempat masing-masing dan ada yang menyaksikan persembahan dari aras atas untuk melihat aksi artis kesayangan mereka dengan lebih jelas.

Mana mungkin mereka mahu melepaskan peluang melihat aksi gandingan empat Raja Lawak iaitu Nabil, Zizan, Along dan Johan secara langsung? Ia peluang yang jarang diperoleh. Hanya pada siri jelajah ini peminat dapat berbuat begitu.

Bukan hanya menyanyi, anak muda yang semakin mendominasi dunia hiburan itu tidak ketinggalan mengusik penonton. Bersama Didie Alias yang juga finalis kategori Artis Komedi Wanita Popular pula, ‘gila-gila’ mereka makin berganda.
Semua yang berada di bawah pentas tidak mampu menahan ketawa melihat kelucuan mereka ditambah wajah selamba masing-masing yang cukup gemar ‘mengenakan’ sesama sendiri.

Terdahulu, barisan pelakon seperti Fasha Sandha, Fizz Fairuz, Ady Putra, Sharnaaz Ahmad, Lisa Surihani dan Aaron Aziz berkongsi pentas dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan, yang tentu saja membabitkan pengunjung bertuah.

Lebih gamat apabila penyampai Hot FM, Faizal Ismail yang terkenal dengan panggilan hangitnya bergilir mengendalikan acara bersama Sharifah Aleya, Chad serta hos utama majlis berkenaan, siapa lagi kalau bukan Along.

Ada saja gelagat dan jenaka mencuit hati hingga penonton tidak kering gusi. Peluang sebegini tentu saja tidak mahu dilepaskan pengunjung terutama apabila mereka dapat berdiri sebaris dengan wajah yang ketika ini ‘meletup’ di radio, televisyen dan pawagam.

Apatah lagi barisan artis turut membawa buah tangan khusus untuk diagihkan kepada peminat, hingga ramai yang terus bergegas mengangkat tangan atau bangun menuju ke pentas setiap kali kuiz atau permainan dimulakan.

Peminat teruja Altimet, Zizan berduet

PERSEMBAHAN barisan penyanyi juga tidak kurang hebatnya malah penonton di Pasir Gudang bertuah apabila berpeluang menyaksikan padu suara antara Altimet dan Zizan membawakan lagu Anggun.

Bakat muda, Elfira Loy juga tampil dengan persembahan mengejutkan apabila mengundang lima penari kecil yang menamakan diri mereka Leeleesm dari Sekolah Puncak Alam menarikan lagu Superjunior.

Sorakan terus gemuruh sebaik saja deretan nama besar lain menghangatkan pentas termasuk Anuar Zain, Meet Uncle Hussain bersama Hazama, Azlan & The Typewriter, Black, Alyah dan Mirwana.

Seperti biasa, selain persembahan pentas, peminat bertuah juga diberikan kesempatan menaiki kereta Nissan Grand Livina dan Nissan Teana tajaan Edaran Tan Chong Motor bersama finalis kegemaran masing-masing.

Kereta terbabit ialah ganjaran utama untuk pembaca bertuah dan pemenang Bintang Paling Popular ABPBH musim ke-24.

Selain persembahan, pelbagai acara sampingan turut berlangsung pada siri jelajah dua hari itu malah penaja ABPBH siri ke-24 ini seperti Celcom, Orang Kampung dan Sinarmas turut merancakkan acara bersama promosi hebat.

Selepas Pasir Gudang, rombongan jelajah akan berkampung di Klang Parade, Klang, Selangor selama tiga hari bermula 25 Mac, sebelum malam kemuncak anugerah berprestij itu berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, pada 3 April.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: