Monday, March 14, 2011

Ratu Cantik, Thanuja Amal Petua Lama

PERTAMA kali bersua muka dengan model yang memegang gelaran Miss World Malaysia 2009/2010 ini membuatkan mata tidak berkelip kerana sedikit terpaku dengan kejelitaan asli yang dimilikinya.

Siapa lagi kalau bukan wajah wanita berketurunan India, Thanuja Ananthan, 26, yang memiliki raut wajah seakan-akan bintang filem Sepanyol tatkala dia melurut rambut kerintingnya itu.

Sesekali apabila mengusik kenapa tidak memasuki pasaran Sepanyol, Thanuja hanya tersenyum lalu menjawab, “kenapa tidak jika ada peluang”?

Dengan kelebihan menguasai banyak bahasa iaitu Sepanyol, Tamil, Kantonis, Indonesia, Jawa, Malaysia dan Inggeris, pastinya anak ketiga daripada empat beradik ini mampu pergi jauh dalam bidang peragaan dan seni.

Bukan sahaja cantik rupa paras, malah pemilik ijazah dalam bidang undang-undang dari Universiti Northumbria, New Castle, United Kingdom ini bijak dalam setiap tutur katanya melengkapkan pakej kecantikan yang ada.

Disebabkan rasa sayang dan minatnya yang mendalam kepada haiwan, Thanuja turut dilantik sebagai duta Hak Asasi Haiwan (PETA).

Dia juga sempat berkongsi cerita tentang masa lapangnya yang banyak dihabiskan bersama-sama haiwan peliharaan iaitu tujuh ekor kucing, dua ekor anjing dan masing-masing seekor arnab dan anak tupai.

Sapu kacang hijau pada muka

Bercerita mengenai kecantikan, Thanuja atau mesra dengan panggilan Thanu ini agak bertuah kerana tidak mengalami masalah kulit sejak kecil.

Bagaimanapun, dia masih perlu menjaga kecantikannya. Petuanya kata Thanuja, sesibuk mana sekalipun seseorang wanita itu, perkara paling penting yang tidak boleh ditinggalkan adalah tidur tanpa mekap.

“Saya sangat berhati-hati dengan produk kecantikan. Jika mendapat hadiah produk sekalipun, saya tidak akan terus menggunakan produk tersebut sebaliknya menguji pada tangan dalam masa 24 jam. Kalau produk itu tidak merengsakan kulit, saya akan menggunakannya.

“Saya selalu menggunakan “scrub” muka kerana ia bagus untuk merawat kulit wajah. Selain itu, saya tidak lupa menggunakan asas produk penjagaan kulit muka seperti pencuci, penyegar, pelembap dan krim pelindung cahaya matahari.

“Saya juga perlu menggunakan minyak pembersih muka Shu Uemura sehingga membeli lima botol besar sebagai persediaan. Sebelum tidur, saya akan meletakkan pelembap muka terlebih dahulu.

Tentang amalan tradisional, ibu saya ada berkongsi petua menyapu muka dengan kacang hijau yang dikisar dan di campur dengan air untuk dijadikan “scrub” muka,” kata Thanuja kepada OopStarz! yang masih mempercayai petua orang dulu-dulu.

Mengenai penjagaan rambut, Thanuja tidak gemar menggayakan rambutnya kerana bimbang menjadi rosak.

Untuk mendandan rambut ketika sesi fotografi, Thanuja lebih gemar menggunakan produk sendiri. Dia juga gemar menyapu minyak zaitun pada rambutnya yang ikal itu.

Sebut tentang produk kecantikan, model jenama Shu Uemura ini tidak memandang harga dalam memilih barang kecantikan tetapi memadailah ia sesuai dengan kulitnya.

Selain rangkaian produk Shu Uemura, dia turut menggunakan bedak Terracota 4 Seasons, gincu Dior Rouge dan penggaris mata cecair 4U2 Cosmetics.

Dalam sebulan, dia pasti membelanjakan produk kecantikan dalam anggaran RM500.Selain itu, dia turut mengamalkan petua dengan berpantang mengambil makanan berminyak seperti kacang dan tidak meninggalkan amalan meminum tiga liter air sehari.

“Saya mengamalkan makan nasi sekali sehari dan pada waktu malam saya mengambil capati atau roti.

“Tetapi saya sangat suka makanan pedas dan tidak menolak makanan yang mempunyai cili padi. Bagaimanapun, saya perlu pandai mengawal pemakanan agar ia lebih seimbang,” katanya lagi.

Senaman yoga

Selain mengawal pemakanan, dia turut mengamalkan aktiviti riadah yang sihat seperti senaman yoga pada setiap hari, berenang dan berlari dengan anjing kesayangan pada hujung minggu.

“Saya mempunyai adik kembar bernama Anuja yang sama-sama minat pada haiwan. Saya mula menyukai haiwan ketika berusia 10 tahun dan kami mudah bersimpati dan tersentuh apabila melihat haiwan sakit sehingga tidak boleh tidur.

“Setiap hujung minggu, saya akan membawa anjing peliharaan saya berjalan dan berlari menaiki bukit,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: