Monday, March 7, 2011

Penculik akhirnya terima padah

KUALA TERENGGANU – Selepas lima tahun melarikan diri, seorang lelaki yang menculik seorang kanak-kanak perempuan di Kuala Ibai dekat sini pada 2006 akhirnya ditahan di Inanam, Sabah Selasa lalu.

Juruelektrik berusia 30 tahun dari Ipoh, Perak itu ditahan di sebuah rumah di situ pada pukul 7.30 pagi 1 Mac lalu selepas polis mencarinya sejak lima tahun lalu sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa pada 22 Oktober 2006.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, pada hari kejadian, suspek telah menculik kanak-kanak tersebut yang ketika itu berusia tiga tahun semasa suspek melakukan kerja-kerja pendawaian di rumah mangsa di Kuala Ibai dekat sini.

Katanya, ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan kanak-kanak itu hanya ditemani oleh pembantu rumahnya.

“Ahli perniagaan itu hanya menyedari anaknya telah diculik pada pukul 12 tengah hari selepas dia menerima panggilan daripada suspek yang memintanya wang tebusan RM200,000.

“Suspek kemudian membebaskan mangsa berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai dua jam kemudian selepas dia bersetuju untuk mengurangkan wang tebusan menjadi RM42,800,” katanya.

Tambahnya, bapa mangsa hanya membuat laporan lapan hari kemudian kerana mereka trauma dengan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.

Menurut Manoharan, suspek yang telah diserahkan kepada pihaknya oleh polis Sabah kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: