PUTRAJAYA – Halil Ibrahim, 22, dari Turki dinobatkan sebagai juara bagi kategori antarabangsa pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri yang berlangsung di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam tadi.
Beliau yang menuntut di Universiti Istanbul mengalahkan empat peserta lain dalam kategori terbabit dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai AS$5,000 (RM15,500), piala pusingan Perdana Menteri dan sijil penyertaan.
Halil memberitahu, beliau tidak menduga memenangi pertandingan tersebut kerana persaingan sengit terutama dari peserta Rusia, Daria Kamyshnikova.
“Bagi saya kemenangan ini sangat bermakna dan saya akan terus memartabatkan Bahasa Melayu” katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib juara kategori antarabangsa ialah Kamyshnikova dan tempat ketiga diraih peserta Australia, Genevieve Woods.
Seramai lapan peserta PABM berentap di peringkat akhir setelah empat hari berlangsungnya pertandingan tersebut yang diadili tujuh juri tempatan dan antarabangsa yang dilantik oleh Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia.
Lima daripada peserta terlibat berentap untuk kategori antarabangsa yang terdiri daripada peserta Rusia, China, Turki, Australia dan Korea Selatan.
Selebihnya adalah peserta dari Malaysia, Singapura dan Brunei untuk kategori nusantara.
Sementara itu, Amirrudin Abd. Rahman, 25, pemidato Malaysia menjuarai kategori nusantara dengan membawa pidato bertajuk ‘Bangsa Berilmu Bangsa Bertamadun’. Beliau juga membawa pulang hadiah berupa wang tunai AS$5,000, piala pusingan Perdana Menteri dan sijil penyertaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: