|
|
ENAM bulan lalu, Aminuddin Othman, 47, merupakan tunggak keluarga, mencari rezeki dan membesarkan enam anaknya. Namun penyakit angin ahmar atau strok yang dideritai menyebabkan bahagian kanan tubuhnya tidak boleh digerakkan.
Dia tidak boleh menjamah makanan seperti individu normal. Sebahagian tubuhnya ibarat tidak bernyawa lagi.
Mulutnya pula herot dan patah kata yang terbit dari bibirnya hanyalah desisan angin. Namun, semangatnya begitu kental. Jauh di dasar sanubarinya yakin ‘sebelah nyawanya’ yang hilang akan dikembalikan.
“Masa depan seolah-olah gelap gelita apabila disahkan strok oleh doktor, tiada ruang lagi untuk saya meneruskan kehidupan, malah saya terpaksa berhenti membawa teksi” luahnya.
Namun Aminuddin tabah dan menguatkan semangat. Hasilnya, kini dia memperoleh kegembiraannya semula malah mampu meneruskan kehidupan bahagia bersama keluarga.
Selepas hampir enam bulan menjalani terapi urutan menggunakan mesin khas di Setapak, Kuala Lumpur dan memakan ubat, dirinya sedikit pulih.
Suaranya dan sebutan perkataan semakin jelas sejak Februari lalu.
Malah akuinya, semasa awal menghidap strok , semua keperluan diri diuruskan oleh isterinya, Lelawati Manan, 46. Kini seboleh-bolehnya dia mahu melakukan sendiri.
Menceritakan saat-saat dirinya diserang strok , katanya, segala-galanya berpunca daripada penyakit darah tinggi serta pemakanan yang tidak seimbang.
“Pada awalnya, tangan saya menjadi kebas ketika memandu teksi. Tiba-tiba, bahagian tubuh kanan pula tidak boleh digerakkan, malah rasa sekeliling saya seperti berpusing dan separuh badan keras. Bayangkan masa itu saya sedang membawa seorang penumpang dan sebelah tangan saya tidak boleh gerak. Kemudian saya menarik brek dan menahan teksi lain,” ceritanya ketika menceritakan detik cemas yang berlaku di Jalan Petaling, Selangor.
Katanya lagi, mulutnya juga menjadi herot dan tidak boleh menyebut patah perkataan.
“Masa tu, saya rasa dunia sudah gelap hanya mati sahaja yang paling hampir,” ceritanya bersungguh.
Namun kesungguhan isteri dan anak-anaknya membuatkan dia semakin tabah menghadapi dugaan hidup.
Bercerita lanjut detik itu, seorang pemandu teksi yang lain menghantarnya pulang ke rumah di Taman Wilayah Selayang Fasa 4, Selayang, Kuala Lumpur.
Isterinya kemudian membawa dia ke Hospital Selayang dan doktor mengesahkan dia diserang strok.
“Tiada apa yang dapat saya lakukan ketika itu, hanya doa yang saya termampu. Apa yang saya terkilan, saya baru sahaja empat bulan membawa teksi. Isteri pula bekerja di tadika tetapi berapa sangatlah gaji dia. Sedangkan kami ada enam anak yang masih bersekolah. Mujur ada kakak yang menawarkan saya rawatan fisioterapi percuma di Setapak,” tambahnya yang menjalankan perniagaan sendiri sebelum menjadi pemandu teksi.
Walaupun mempunyai kenderaan sendiri, dia tidak mampu lagi membayarnya dan tersadai di rumah kerana isteri dan anak-anaknya tidak boleh memandu.
Setiap hari kakaknya akan menemani dia untuk menjalani fisioterapi di pusat terapi tersebut.
Usaha
Berkat kegigihan, usaha tanpa mengenal putus asa dan berdisiplin dengan latihan, selepas hampir empat bulan, kini Aminuddin sudah boleh berjalan perlahan-lahan dan bertutur .
“Ia menyerang secara tiba-tiba tanpa ‘sebarang petanda’. Dia tidak pernah didiagnosis berpenyakit darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis.
Bagaimanapun berada di pusat terapi banyak memberi perubahan kepada saya dan peluang untuk sembuh bertambah baik dengan dorongan keluarga,” jelasnya.
Dia sedar penyakit yang dihidapinya kini tidak mungkin sembuh 100 peratus, tetapi cukuplah jika dia dapat bekerja semula.
“Apa yang penting saya tidak berputus asa dan sentiasa mencuba. Selebihnya berserah kepada Allah Taala.
“Saya menganggap ini sebagai hidup kedua saya. Peluang yang diberikan perlu saya gunakan sebaik-baiknya. Kerana itulah, saya mahu segera sembuh untuk memperbaiki kehidupan keluarga saya,” ujarnya yang bersyukur kerana kakaknya sudi meminjamkan wang untuk persekolahan anak-anak dan rawatannya.
Kewangan
Walaupun digalakkan menjaga pemakanan, Aminuddin tidak kisah hidangan makanan hariannya.
Menyedari kekangan sumber kewangan keluarga, dia akan menjamah apa jua yang dimasak oleh isterinya.
Bahkan dia tidak mahu bergantung kepada bantuan orang ramai semata-mata tetapi dia mengharapkan pihak-pihak tertentu mengambil tindakan sewajarnya tentang nasibnya. Sejak diserang strok, permohonan bantuan sudah dihantar tetapi masih belum ada maklum balas.
“Saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak sentiasa memberi sokongan dan menjadi pembakar semangat untuk melawan penyakit ini,” ujarnya yang boleh dihubungi di talian 019-3612536 atau menghubungi Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Wilayah fasa 4, Selayang, Kuala Lumpur, Mohamed Noor Said (013-3909944).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: