Tuesday, March 1, 2011

Oman semakin bergolak


ASAP menjulang dari pasar raya Lulu yang dibakar penunjuk perasaan di Sohar, Oman semalam.


MUSCAT - Kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi di Oman menyekat beberapa jalan menuju ke sebuah kawasan industri utama semalam walaupun mereka berdepan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan.

Tindakan nekad itu dilakukan sehari selepas beberapa pertempuran dengan tentera telah menyebabkan enam orang terbunuh.

Kumpulan penunjuk perasaan itu menyekat jalan-jalan menuju ke kawasan perindustrian Sohar, utara Oman, yang menempatkan sebuah kilang aluminium dan pelabuhan memproses minyak.

Beberapa saksi berkata, pasukan keselamatan menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke arah sekitar 2,000 penunjuk perasaan untuk menyuraikan mereka.

Para penunjuk perasaan tersebut berarak untuk menuntut lebih banyak peluang pekerjaan dan reformasi politik dilaksanakan di Oman.

Sebuah pasar raya utama di Soha turut terbakar semalam selepas penduduk memecah masuk dan melarikan pelbagai barangan di dalamnya.

Seorang jurucakap pelabuhan Sohar memberitahu, penghantaran minyak mentah dari pelabuhan tersebut masih berjalan lancar setakat ini.

Pelabuhan Sohar mengeksport 160,000 tong minyak mentah sehari.

Tunjuk perasaan di Oman itu didorong kebangkitan di dunia Arab yang tercetus sejak beberapa bulan lalu.

Pada Sabtu lepas iaitu seminggu selepas demontrasi tercetus di ibu kota Oman, di sini, pemerintahnya, Sultan Qaboos bin Said telah melakukan rombakan Kabinet.

Beliau memegang kuasa sejak empat dekad lalu selepas melakukan rampasan kuasa ke atas bapanya sendiri pada 1970.

Kelmarin, pemerintah Oman itu berjanji akan mewujudkan lebih 50,000 pekerjaan baru dan memberikan insentif wang kepada golongan penganggur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: