Saturday, March 12, 2011

Naza TTDI tubuh syarikat bersekutu




Naza TTDI Sdn Bhd, (Naza TTDI) menjadi salah satu cabang pembangunan hartanah dalam Kumpulan Naza yang bakal melancarkan 18 projek baru dengan nilai pembangunan kasar RM1.6 bilion tahun ini sekali gus melonjakkan pendapatan selepas cukai kepada 22 peratus (RM100 juta), berbanding RM82 juta 2010.

Pengarah Urusan Kumpulannya, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, projek itu juga bakal memberi pulangan yang lebih tinggi dengan nilai jangkaan RM1 bilion, meningkat 57.5 peratus berbanding RM635 juta tahun lalu.

Menurutnya, pelancaran projek sebanyak itu menyaksikan sesuatu perubahan yang belum pernah berlaku dalam syarikat itu, namun ia adalah aspirasi syarikat untuk menjadi antara 10 syarikat pembangunan hartanah terkemuka negara bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Projek itu terdiri daripada pembinaan rumah kediaman dan bangunan komersil di TTDI Grove, Kajang, TTDI Alam Impian Shah alam, TTDI Dualis Puchong, dan 35 menara bertingkat di Jalan Tun Razak yang kini dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengumuman projek dan progress terkini projek Naza TTDI di Shah Alam.

Faliq berkata, sejajar pelancaran 18 projek baru itu, sebuah syarikat pembinaan bersekutu, Naza TTDI Construction (NTC) ditubuhkan bagi melengkapkan lagi perkhidmatan yang memberi tumpuan pada bangunan, kejuruteraan awam, dan kerja penginfrastrukturan.

“Kami rasakan ini adalah masa yang sesuai untuk pelbagaikan bidang niaga bagi memudahkan kami bertapak dan kekal stabil dalam industri ini.

"Kami juga optimis bahagian hartanah dan pembinaan akan menjadi penyumbang kedua terbesar kepada kumpulan suatu hari nanti, setanding auto penyumbang utama,” katanya.

Penubuhan NTC juga dapat dijadikan platform bagi Naza TTDI menunjukkan potensi untuk meneroka pasaran luar negara seperti Singapura, Vietnam, Indonesia dan China.

Ketika ini, Naza TTDI mempunyai 160 hektar 'land bank' di Malaysia dan giat mencari kawasan dalam dan luar negara lima tahun akan datang.

Sehingga 2015, Naza TTDI menjangkakan mampu mencapai pendapatan selepas cukai mencecah RM 267 juta manakala perolehan RM2.22 bilion.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: