![]() |
| Jurusolek daripada Afidah Khamis Makeup and Stuff, Nor Hafizah Norham (tengah), Misizan Salehudin (kanan) dan Nursuhada Salehudin bersedia untuk melakukan tugas mereka. |
SETIAP pengantin pastinya ingin tampil menarik dan memukau pada hari persandingan kerana saat manis ini hanya akan dilalui sekali seumur hidup.
Selaku salah seorang juruhias bagi Afidah Khamis Makeup and Stuff, Nor Hafizah Norham, dia diberikan tanggungjawab untuk menghias dan menata cara wajah bagi pasangan pemenang tempat pertama Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Musim Kedua, Danial Hassan Basari, 25, dan Nurul Illyiana Nor Zaidi, 25, serta pasangan pemenang tempat kedua, Farid Fikri Shukri, 27, dan Nur Natalia Ku Yusof, 21.
Kedua-dua pasangan pengantin ini bakal melangsungkan majlis persandingan mereka di Kampung Pengantin, Kuala Lumpur, yang mana pasangan pemenang tempat pertama akan disandingkan pada 3 April dan pasangan pemenang tempat kedua pula pada 20 Mac nanti.
Sebenarnya, menurut Nor Hafizah, pelbagai faktor perlu dititikberatkan oleh pengantin untuk memastikan seri mereka sebagai pengantin akan terserlah apabila tiba hari persandingan.
"Setelah berbincang dengan pasangan tempat kedua, mereka telah memilih tema fairy tale bagi majlis persandingan.
"Untuk memastikan pasangan ini nampak mempesonakan pada hari itu, saya akan memilih konsep solekan smookey eye untuk Natalia. Mainan warna ini bergantung kepada warna persalinan pengantin.
"Mainan warna gelap seperti biru gelap dan hitam menjadi pilihan untuk menghasilkan kesan memukau pada mata Natalia. Memandangkan Natalia mempunyai sepasang mata yang bundar, jadi tidak susah untuk membuatkan matanya nampak galak dan bulat,'' jelas Nor Hafizah.
Manakala jelasnya, solekan untuk pasangan pengantin pemenang pertama masih dalam perancangan kerana solekan perlu bergantung kepada tema yang dikehendaki pengantin.
Rakannya, Misizan Salehudin, turut diberi peranan menata rias pemenang pengantin bagi peraduan Gerbang Cinta kali ini.
Jelas Misizan, perkara penting yang mesti dititikberatkan dalam solekan pengantin adalah teknik solekan mata.
Solekan mata yang menarik akan membuatkan pengantin nampak lebih berseri dan memukau.
Jelasnya, solekan mata pada waktu siang elok menggunakan warna-warna semula jadi dan tidak terang, manakala solekan malam menggunakan warna-warna terang. Itupun perlu bergantung kepada warna baju.
"Bagi memastikan seri pengantin terserlah sebenarnya bergantung kepada teknik solekan, selain seri pengantin pada wajah itu datang sendiri dari dalam diri,'' jelasnya.
Misizan juga menyarankan petua untuk pengantin di luar sana supaya menjaga kulit beberapa bulan sebelum berlangsungnya hari persandingan.
"Adalah baik jika mengekalkan penggunaan produk kecantikan secara teratur di samping menjaga pengambilan makanan untuk memastikan kulit sentiasa sihat dan segar,'' katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: