KUALA LUMPUR: Kumpulan rock popular, Spider mengaku menyimpan lebih daripada 10 buah lirik ciptaan penulis lirik prolifik, Allahyarham Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis.
Menurut vokalisnya, Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafah, mereka bakal menggunakan koleksi lirik tersebut untuk lagu terbaru Spider akan datang.
“Walaupun arwah Loloq sudah tiada, kami masih mengingati saat-saat sewaktu proses rakaman lagu dilakukan. Kami rasa lemah juga apabila merakamkan album terbaru berjudul KitaSatu sebelum ini tanpa arwah.
“Bagaimanapun, kami terpaksa kuatkan semangat,” kata Tam yang akan membuat persembahan bersama anggota band yang lain dalam sebuahn konsert ‘Untukmu Loloq’ di Istana Budaya pada 22 hingga 24 April ini.
Loloq bukan sahaja ibarat rakan sekerja Spider, malah mereka menyifatkan diri penulis lirik lagu Aladin dan Kasih Latifah itu sebagai abang yang sentiasa menasihati mereka.
“Kami paling ingat Loloq selalu cakap ayat mesti ‘power’ dan jika membuat lirik, semuanya perlu mempunyai jiwa dan sampai kepada orang yang membaca atau mendengar lirik itu,” ujar Tam lagi.
Beralih kepada persembahan Spider dalam konsert yang turut disertai oleh penyanyi M. Nasir, Ramli Sarip dan Ella, Tam berkata setiap artis bakal menyanyikan lima buah lagu.
“Kami masih berbincang tentang lagu yang akan dipersembahkan. Bagaimanapun, kami akan memilih lagu yang terbaik yang pernah dicipta oleh Loloq mengikut citarasa kami dan mempunyai nilai sentimental.
“Setiap lirik yang dihasilkan oleh Loloq mempunyai cerita tersendiri. Kebanyakan album lama sehingga album Bintang 12 mempunyai banyak cerita dan emosi. Jadi, kami akan menggabungkan semua elemen untuk membangkitkan perasaan kami,” kata Tam.
Selain Tam, Spider turut dianggotai oleh Hanafi, Ayie dan Tony.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: